PASIR PUTEH: Seorang bapa memilih mengutamakan pakaian seragam sekolah untuk anaknya berbanding membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri, hujung bulan ini.
Mohd. Sanusi Husain, 52, dari Bukit Panau, Tanah Merah, dekat sini berkata, dia mahu anak tunggalnya memiliki sekurang-kurang dua pasang seragam bagi memudahkan urusan ke sekolah.
“Untuk Aidilfitri, kita pakai yang mana ada sahaja. Jadi sumbangan yang saya terima ini digabung dengan wang sedekah bagi menyediakan kelengkapan seragam sekolah untuk anak.
“Saya seboleh-bolehnya mahu anak mendapat pendidikan sebaik mungkin. Hanya pelajaran sahaja yang mampu mengubah masa depan,” katanya semasa ditemui pada Majlis Penyampaian Bantuan Yayasan Bank Rakyat (YBR) di sini, semalam.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani berkata, sebanyak RM3 juta di diperuntukan bagi membantu pelajar miskin seluruh negara sejak Januari lalu.
“Fokus utama YBR ialah pelajar dari keluarga B40. Sumbangan yang dihulurkan ini melalui pelbagai peringkat bantuan termasuk pinjaman dan biasiswa boleh ubah.
“Selain itu, kita membuka ruang yang luas kepada anak-anak orang kurang upaya (OKU) untuk memohon biasiswa boleh ubah bagi yang mendapat tawaran pengajian peringkat ijazah bermula Oktober ini,” ujarnya.










