KUALA NERUS: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan kerjasama Nestlé Malaysia berjaya mengagihkan 300 bakul Ramadan dan 1,200 bekas bubur lambuk kepada warga kampus dan komuniti setempat sempena ketibaan bulan Ramadan.
Sebanyak 300 bakul Ramadan barangan keperluan termasuk susu, mee segera, produk berasaskan coklat dan bahan makanan lain telah diagihkan kepada penerima asnaf yang layak, manakala 1,200 bekas bubur lambuk diedarkan kepada pelajar, staf serta komuniti yang masuk ke kampus UMT.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMT, Profesor Dr. Suriyani Muhamad berkata, program itu mencerminkan komitmen universiti dalam membantu golongan yang memerlukan khususnya asnaf, anak yatim serta komuniti di sekitar kampus daerah Kuala Nerus.
“Setiap tahun, UMT sentiasa berusaha mengimarahkan Ramadan dengan aktiviti kebajikan. Program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada penerima, malah mampu mengeratkan hubungan antara warga universiti dan masyarakat setempat,” katanya.
Beliau turut bercadang agar jalinan itu harus diperkukuhkan lagi untuk mewujudkan rakan strategik dalam pelbagai bentuk program demi kelestarian, kebajikan dan pendidikan masyarakat.
Penerima manfaat, Akmal Haikal, 21, yang juga pelajar jurusan Sarjana Muda Perakaunan UMT turut menzahirkan rasa syukur dan terima kasih atas sumbangan yang diberikan.
“Dengan adanya program sebegini, sekurang-kurangnya ia mampu membantu meringankan beban perbelanjaan khususnya pada bulan Ramadan dan saya amat menghargainya.” Katanya.
Pengarah Eksekutif, Hal Ehwal Korporat Kumpulan Nestle Malaysia, Raja Nurmaria Murni Raja Nur Azmi, berkata, sumbangan itu merupakan sebahagian daripada usaha syarikat dalam memperkukuh semangat kebersamaan dan membantu meringankan
beban masyarakat sepanjang Ramadan.
Penganjuran program tersebut berjaya melibatkan sukarelawan dari kalangan pelajar dan staf UMT sendiri yang bergotong-royong dalam penyediaan bubur lambuk serta pengagihan bantuan sekaligus mencerminkan semangat gotong-royong dan keprihatinan dalam kalangan warga kampus. – UTUSAN