KUBANG PASU: Hasrat sekumpulan pembeli untuk menggunakan senjata api tiruan bagi ‘menembak cicak’ di rumah tidak kesampaian apabila barangan itu dirampas di pintu sempadan Bukit Kayu Hitam, Sabtu lalu.
Dalam pemeriksaan kira-kira pukul 6 petang itu, pihak berkuasa menemukan dua laras senjata api tiruan jenis Carbine Model M4A1 dan model N4 yang disembunyikan di bawah tempat duduk pemandu dan penumpang Perodua Myvi dinaiki dua lelaki tempatan.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Mohd. Radzi Abdul Rahim berkata, senjata api itu bersama lapan pucuk pistol tiruan pelbagai jenis disyaki dibeli di Thailand oleh suspek yang berkunjung ke negara itu.
Katanya, kos keseluruhan senjata yang dibeli suspek lelaki berusia 27 tahun dan rakannya berumur 21 tahun, dianggarkan berjumlah RM6,500 dan mampu menghasilkan keuntungan kira-kira RM2,000 jika dapat dijual.
“Siasatan mendapati suspek berusia 27 tahun yang juga jurutera kilang di Pulau Pinang telah menerima tempahan senjata api tiruan itu daripada pembeli dalam kumpulan sembang Telegram yang disertainya.
“Dia pernah membeli untuk kegunaan sendiri sebelum ini dan setelah mengiklankan kepada kenalan yang berminat dan membuat tempahan sebelum suspek ke Hat Yai untuk membeli senjata-senjata itu,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.
Menurut Mohd Radzi, terdapat seramai 25 ahli yang menyertai kumpulan sembang Telegram berkaitan senjata api tiruan itu termasuk suspek, manakala suspek kedua yang juga penghantar makanan dikatakan hanya menemaninya ke Thailand.
Katanya, kedua-duanya tidak memiliki sebarang rekod jenayah dan kini direman selama tiga hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 36 Akta Senjata 1960 yang mana boleh dipenjara tidak lebih 15 tahun dan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
“Biasanya pembeli beri alasan memiliki senjata api tiruan ini untuk menembak cicak atau hanya berseronok, namun kita khuatir ia boleh disalahguna kerana materialnya hampir menyerupai senjata asli dan penggunaan peluru seperti bearing ball atau bebola keluli boleh membahayakan nyawa.
“Jika dilihat sekali imbas, sukar untuk membezakan antara senjata tiruan dan asli yang mungkin digunakan untuk kegiatan samun atau rompakan bersenjata,” katanya.
Tambah beliau, beberapa kelopak model M4A1 dan AAP-01 serta lapan bungkus plastik berisi peluru manik dan 10 botol gas yang digunakan untuk senjata-senjata itu turut dirampas. – UTUSAN










