PETALING JAYA: Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr. Radzi Jidin mempersoalkan kewajaran kehadiran seorang timbalan menteri ke mahkamah bersama individu yang sedang berdepan pertuduhan.
Beliau berkata, tindakan melibatkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran itu menimbulkan persoalan dari sudut persepsi awam terhadap kebebasan institusi kehakiman.
“Wajarkah seorang timbalan menteri hadir ke mahkamah bersama orang yang dituduh? Kerajaan perlu tampil memberikan penjelasan segera,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu, kehadiran Kulasegaran yang dilihat bersama aktivis, Arumugam Dorasamy ketika tiba di pekarangan Mahkamah Majistret Jawi, Pulau Pinang bagi menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan mencetuskan pelbagai persoalan kerana boleh menimbulkan persepsi campur tangan terhadap institusi kehakiman.
Arumugam didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan menerusi satu video yang dimuat naik di akaun Instagram miliknya. – UTUSAN











