PETALING JAYA: Umat Islam di negara ini diminta supaya lebih berhati-hati dalam memberi komen atau pendapat dalam media sosial bagi mengelakkan tercetusnya perpecahan sesama rakyat yang berbilang kaum.
Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI), Datuk Dr. Nooh Gadot berkata, mereka juga diharap dapat menjadikan platform digital sebagai wadah terbaik dalam berbicara dan mengeluarkan pendapat mengikut lunas-lunas ajaran agama.
Katanya, ia termasuk dalam perkara yang boleh mencetuskan perpecahan, mengganggu gugat keharmonian dan membawa kepada persengketaan.
“Sebagai umat Islam, mengutamakan akhlak yang baik dalam setiap percakapan mahupun penulisan termasuk dalam media sosial adalah satu tuntutan agama dan Islam merupakan sebuah agama yang menitik-beratkan perihal akhlak.
“Menggunakan kata-kata yang dapat menyakiti sesama umat Islam, kaum-kaum lain atau menimbulkan kebencian adalah bertentangan dengan ajaran Islam yang amat menekankan kepada perpaduan dan hubungan saling hormat-menghormati,” katanya.
Dalam pada itu, MKI turut memperakukan 12 buah buku yang dikenakan perintah larangan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Nooh berkata, kesemua buku itu didapati mengandungi ajaran dan fahaman yang sesat.
“Jawatankuasa Muzakarah MKI Kali Ke-125 telah membincangkan mengenai Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Penasihat Media Berunsur Islam (JPMBI) Kali Ke-96. Muzakarah mengambil ketetapan dan bersetuju memperakukan kesemua 12 buku tersebut dikenakan perintah larangan oleh KDN,” katanya. – UTUSAN