Tipu program latihan praktikal, pembantu perikanan didenda RM5,000 - Utusan Malaysia

Tipu program latihan praktikal, pembantu perikanan didenda RM5,000

MUHAMMAD Hafizul Abdul Hamid didakwa menipu program latihan praktikal sangkar laut yang tidak wujud lapan tahun lalu di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang pembantu perikanan didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menipu program latihan praktikal sangkar laut yang tidak wujud, lapan tahun lalu.

Tertuduh, Muhamad Hafizul Abdul Hamid, 43, juga berdepan hukuman penjara satu bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Hukuman itu dijatuhkan selepas tertuduh membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Datuk Ibrahim Osman.

Mengikut pertuduhan, penjawat awam yang bertugas di Kolej Perikanan Malaysia Lumut itu didakwa telah memperdaya Pengurus Besar Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Matang, Nora’ Ashikin Hussain untuk mendorongnya menyerahkan wang tunai sebanyak RM17,413 melalui Noorhafiza Ismail@Semail.

Wang itu merupakan pendahuluan bayaran bagi penyediaan perkhidmatan latihan praktikal sangkar laut untuk pelatih Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Akuakultur Marin Kolej Perikanan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Lumut yang dijadualkan pada 24 hingga 30 September 2017 sedangkan latihan amali dan lawatan ke Widad Akuakultur Sdn. Bhd. di Pulau Langkawi, Kedah itu tidak dijalankan.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Kolej Perikanan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Kompleks Perikanan Kampung Acheh di dalam daerah Manjung pada 21 September 2017.

Pertuduhan terhadap lelaki itu dijalankan mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Shahrul Azuan Ghazali dan Mohd. Afiq Mohd. Adnan manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya