PUTRAJAYA: Kerajaan akan mengambil tindakan sekirannya proses ketekunan wajar (due diligence) yang dilakukan menemui salah laku dalam Sapura Energy Berhad (SEB).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, proses audit sememangnya telah dilaksanakan dan ketekunan wajar tambahan itu dilaksanakan sebagai prasyarat dalam memuktamadkan penstrukturan semula dan suntikan modal RM1.1 bilion.
Menurut beliau, dapatan ketekunan wajar itu akan dikongsikan kepada agensi penguatkuasaan berkenaan seperti Suruhanjaya Sekuriti sama ada tindakan perlu diambil ke atas mana-mana pihak.
“Kerajaan tetap mengutamakan ketelusan dan amalan tatakelola baik dalam pengurusan. Penstrukturan semula SEB telahpun melalui kelulusan pemiutang serta proses mahkamah.
“Suntikan kerajaan bukannya geran tetapi merupakan pelaburan ke arah memulihkan ekosistem minyak dan gas yang strategik untuk ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan selepas menghadiri perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan, di sini hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan, suntikan modal baharu yang diberikan Kerajaan Persekutuan berjumlah RM1.1 bilion kepada SEB adalah khusus untuk pembayaran hutang SEB dengan vendor iaitu melibatkan 2,000 vendor PKS minyak dan gas tempatan yang majoritinya syarikat bumiputera.
Katanya, suntikan Modal ini adalah sebahagian daripada usaha penstrukturan semula SEB dan ia adalah untuk membantu dan menyelamatkan pekerja tempatan yang telah sekian lama tidak menerima bayaran bagi perkhidmatan mereka.
“Ia juga penting untuk menyelamatkan ekosistem industri minyak dan gas tempatan. Amat penting untuk ditegaskan bahawa suntikan modal ini juga tidak sama sekali memanfaatkan pemegang saham atau pengurusan SEB.
“Dalam penstrukturan semula SEB, pemegang saham utama sebelum ini tidak lagi terlibat dalam pengurusan SEB. Pengurusan baharu profesional telah dilantik untuk melaksanakan penstrukturan semula SEB,” katanya. – UTUSAN