SEPANG: Tiga penjenayah warga asing yang dikategorikan ganas dan berbahaya mati ditembak polis dalam satu kejadian di Desa Vista, Sepang, semalam.
Ketiga-tiga penjenayah lelaki berusia antara 35 hingga 40 tahun itu dikesan bergiat aktif melakukan 17 kes samun dan pecah rumah di sekitar Selangor, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur sejak tahun lalu.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus berkata, kesemua suspek dipercayai bersembunyi di kawasan hutan selepas cuba menyamun sebuah kediaman di kawasan perumahan berhampiran Desa Vista.
Katanya, kehadiran suspek dikesan selepas alat penggera keselamatan sebuah rumah yang menjadi sasaran kumpulan tersebut berbunyi sebelum pemiliknya menyedari kelibat individu bersenjata parang dan bertopeng.
“Menyedari kehadiran mereka disedari pemilik rumah, suspek melarikan diri bersembunyi di kawasan hutan berhampiran sebuah tangki air.
“Pada masa sama, pemilik rumah telah menghubungi polis sebelum semua pasukan Jabatan Siasatan Jenayah digerakkan untuk mengesan suspek secara serta-merta,” katanya di lokasi kejadian.
Fadil berkata, pihaknya mengesan suspek di kawasan hutan namun penjenayah terbabit cuba menyerang pasukan polis dengan parang.
Katanya, polis terpaksa melepaskan tembakan bagi tujuan mempertahankan diri.
“Ketiga-tiga suspek ini disahkan mati di lokasi kejadian. Suspek ini dianggap ganas dan berbahaya kerana tidak teragak-agak mencederakan mangsa yang cuba melawan mereka,” katanya.
Menurutnya, berdasarkan maklumat risikan diperolehi, kumpulan penjenayah ini dipercayai terdiri daripada lima individu dan polis sedang mengesan dua baki suspek.










