KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu akan mempertimbang semula lokasi pesta moreh Ramadan pada tahun depan bagi mengelak lambakan lokasi yang berlaku tahun ini hingga menyebabkan kekurangan pengunjung di sesetengah tempat.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Datuk Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, setiap tahun, permintaan penganjur semakin meningkat untuk mengadakan pesta moreh memandangkan sambutan hangat yang diterima tahun sebelum itu.
Namun katanya, pada tahun ini banyak rungutan diterima daripada peniaga bahawa ada lokasi moreh yang dingin tidak dikunjungi orang ramai.
“Situasi ini disebabkan beberapa faktor antaranya mungkin terlalu banyak lokasi pesta moreh berdekatan yang menyebabkan pengunjung terpecah dan berkurangan. Kedua, faktor ekonomi rakyat yang mungkin lebih banyak berjimat cermat dan kurang berkunjung ke lokasi pesta moreh untuk wang tersebut digunakan pada Aidilfitri dan keperluan lain yang lebih mendesak.
“Situasi ini perlu kita jadikan iktibar antaranya dengan mengehadkan lokasi moreh agar tidak terlalu berdekatan dan juga kepada penganjur serta peniaga agar lebih kreatif dalam jualan,” katanya selepas hadir ke lokasi Moreh Market @ Wonderland di Terengganu Equestrian Resort dekat Kuala Ibai di sini.
Namun, Tun Ahmad Faisal yang juga Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu tetap optimis perkara itu dapat diatasi selepas kakitangan awam mendapat gaji tidak lama lagi.
“Kepulangan anak perantau pada minggu terakhir Ramadan juga berpotensi membantu meningkatkan jualan peniaga di lokasi moreh yang kurang sambutan ketika ini. Masih ada masa untuk peniaga dan penganjur terus mempromosikan jualan dan keistimewaan lokasi tapak moreh mereka,” katanya. – UTUSAN