‘Telaga’ ganti pasu penuhi permintaan ayam bakar

‘Telaga’ ganti pasu penuhi permintaan ayam bakar

ARIFF Haiqal Zulkifli menunjukkan ayam yang dibakar di dalam ‘telaga’ yang diusahakannya di Kampung Kepala Gajah, Besut, Terengganu. - UTUSAN / WAN ZURATIKAH IFFAH WAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Seorang peniaga di Kampung Kepala Gajah di sini, menggunakan ‘telaga’ menggantikan pasu untuk memang­gang ayam berikutan permintaan tinggi diterimanya pada Ramadan ini.

Ariff Haiqal Zulkifli, 30, berkata, idea itu tercetus setelah ayam pasu yang diusahakan sejak 2020 menerima tempahan memberangsangkan dan memerlukan lebih banyak pasu untuk memenuhi permintaan pelanggan. 

“Sebelum ini saya menggunakan empat hingga enam biji pasu untuk membakar ayam setiap hari di bulan Ramadan, tetapi dengan permintaan yang semakin meningkat ia tidak mampu menampung tempahan semasa. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Hendak membeli tempayan besar pula memerlukan modal tinggi yang mana saya perlu membayar kira-kira RM800 untuk sebiji tempayan. Ketika itulah tercetus idea untuk membina ‘telaga kecil’ menggantikan pasu,” katanya ketika ditemui di Kampung Kepala Gajah, semalam.

Menurut Ariff Haiqal, bermodalkan kira-kira RM100, dia dan abangnya membina dua ‘telaga kecil’ yang diubah suai di dalamnya untuk menempatkan arang dan tempat menggantung ayam. 

“ Jika sebelum ini hanya boleh membakar seekor ayam setiap pasu, kini kami boleh memasak kira-kira 13 hingga 15 ekor ayam dalam satu masa bagi setiap ‘telaga’. 

“Dengan adanya telaga ini cara memasak kita juga lebih efektif dan cepat selain hanya mengambil masa kira-kira dua jam sahaja bagi menampung permintaan 40 ke 50 ekor ayam sehari,” katanya. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini