Tarik orang muda gayakan tanjak

Tarik orang muda gayakan tanjak

NORKINTAN Abdul Rahman (kanan) menunjukkan tanjak yang dihasilkannya di Felda Jengka 1 di Maran, Pahang. – UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Seorang suri rumah dari Felda Jengka 1 di sini, mengambil inisiatif menghasilkan tanjak sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri dalam usaha menarik minat golongan muda menggayakan busana tradisio­nal Melayu tersebut.

Norkintan Abdul Rahman, 44, yang berpengalaman dalam seni jahitan dan kraftangan berkata, idea membuat tanjak timbul selepas melihat semakin kurang anak muda memakai aksesori kepala itu dalam majlis rasmi atau perayaan.

Katanya, pembuatan tanjak bukan sekadar hobi, tetapi usaha kecil untuk mengekalkan warisan budaya supaya tidak ditelan zaman.

“Saya melihat ramai generasi muda pada ketika ini lebih cenderung kepada fesyen-fe­syen moden, sedangkan tanjak melambangkan identiti dan kebanggaan orang Melayu.

“Sebab itu, saya terpanggil menghasilkan tanjak yang lebih moden dan praktikal dengan harga hanya RM40 supaya mereka tertarik memakainya, terutama ketika sambutan hari raya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Norkintan berkata, menggunakan kain songket berkualiti tinggi, rekaan tanjak Aidilfitri dihasilkannya ringkas dan mudah dipakai.

“Berbanding tanjak tradisional yang perlu diikat dengan teknik tertentu, tanjak ini mesra pengguna kerana hanya perlu disarungkan di kepala. Saya memahami tidak semua orang tahu cara mengikat tanjak, jadi saya cipta versi lebih praktikal tanpa mengabaikan nilai estetiknya,” katanya.

Dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini, dia sudah menjual lebih 500 tanjak kepada pelanggan yang ingin mengenakan tanjak sempena Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN