GUA MUSANG: Sebahagian besar daripada lebih 100 peniaga di bazar Ramadan di sini, menyahut seruan kerajaan menggunakan kod QR atau kaedah tanpa tunai bagi transaksi pembayaran semasa urus niaga.
Seorang peniaga, Abizar Awaluddin, 49, berkata, kaedah itu bukan sahaja lebih cepat malah memudahkan urusan jual beli tanpa perlu menyediakan wang kecil untuk pemulangan baki.
“Pada tahun ini kebanyakan peniaga mempamerkan kod QR itu bagi tujuan pembayaran kepada pembeli. Kita melihat zaman sekarang kod QR lebih selamat dan mudah. Kita harap penggunaan kod QR secara digital ini perlu dipromosikan secara meluas kepada pengunjung,” katanya ketika ditemui di Bazar Ramadan, Kompleks Perdana Majlis Daerah Gua Musang (MDGM), semalam.
Seorang lagi peniaga, Wan Norainun Wan Rozelan berharap pengguna dapat menjadikan pembayaran tanpa tunai sebagai satu amalan.
“Ia dapat mengelakkan pengguna membawa wang yang banyak semasa berkunjung ke bazar Ramadan,” katanya.








