Taburan hujan cecah paras sebulan, punca Melaka banjir

Taburan hujan cecah paras sebulan, punca Melaka banjir

MUHAMMAD Hafiz menunjukkan imej rada di Stesen Meteorologi Utama LTAM Batu Berendam, Melaka. - UTUSAN/AMRAN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Hujan lebat berterusan yang melanda Melaka kelmarin mencatatkan taburan hujan luar biasa, hampir menyamai jumlah purata hujan sebulan bagi Mac.

Pengarah Jabatan Meteorologi negeri, Muhammad Hafiz Kasim berkata, fenomena cuaca ekstrem ini berpunca daripada pembentukan garis badai di Selat Melaka pada awal pagi sebelum bergerak ke daratan, menyebabkan beberapa kawasan rendah di Melaka Tengah dan Jasin dilanda banjir kilat.

Menurutnya, Stesen Meteorologi Utama Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), Batu Berendam mencatatkan jumlah hujan 122.0 milimeter (mm) antara pukul 4 pagi hingga 2 petang, hampir menyamai purata hujan sepanjang Mac yang berjumlah 143.3 mm.

“Taburan hujan luar biasa ini telah mengakibatkan kenaikan paras air secara mendadak di beberapa kawasan yang terjejas. Selain itu, stesen lain di negeri ini turut merekodkan jumlah hujan tinggi.

“Di Stesen Auksiliari Lapangan Terbang Sungai Rambai, hujan lebat bermula seawal pukul 6 pagi dengan bacaan 18.6 mm, sebelum memuncak pada pukul 7 hingga 8 pagi dengan 36.4 mm. Stesen Meteorologi Utama LTAM pula mencatatkan hujan tertinggi pada pukul 9 pagi dengan 71.4 mm.

“Stesen Auksiliari Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Kuala Linggi merekodkan jumlah tertinggi pada pukul 5 hingga 6 pagi dengan 34.5 mm,” katanya ketika ditemui semalam.

Setakat pukul 8 pagi tadi, banjir di Melaka semakin pulih apabila jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) menurun kepada sembilan orang berbanding lebih 300 mangsa direkodkan pagi semalam.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Melaka memaklumkan, hanya daerah Jasin masih terjejas banjir.

Tambah Muhammad Hafiz, amaran ribut petir telah dikeluarkan seawal pukul 1 pagi dan dikemas kini sebanyak empat kali iaitu pada pukul 5 pagi, 9 pagi, 12.10 tengah hari dan 1.20 tengah hari.

“MET Malaysia menegaskan bahawa keadaan cuaca tidak menentu dijangka berlarutan sepanjang minggu ini, dengan hujan dan ribut petir boleh berlaku pada sebelah petang hingga awal malam.

“Hujan lebat semalam turut melanda beberapa negeri di Pantai Barat seperti Selangor, Johor dan Negeri Sembilan, namun jumlah taburan hujan di negeri-negeri tersebut tidak setinggi di Melaka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN