Syed Saddiq tidak mendapat pembelaan adil

Syed Saddiq tidak mendapat perbicaraan yang adil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak mendapat perbicaraan yang adil apabila Hakim Mahkamah Tinggi gagal mengambil kira bukti dan hujahan yang dikemukakan oleh pembelaan.

Peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Syed Saddiq, 33, selaku perayu berkata, tindakan tersebut merupakan satu pelanggaran Seksyen 182A Kanun Tatacara Jenayah yang menjadikan empat pertuduhan yang dikenakan kepada bekas Presiden Muda itu tidak selamat dan wajar diketepikan.

Menurutnya, pemimpin itu tidak pernah mengarahkan bekas Penolong Bendahari Armada, Rafiq Hakim Razali dan bekas Penolong Setiausaha Armada Ahmad Redzuan Mohamed Shafi untuk mengeluarkan RM1 juta daripada akaun rasmi Armada.

Katanya, hakim bicara gagal mengambil kira bahawa pembelaan anak guamnya itu bukan sekadar penafian semata-mata, tetapi ia adalah satu cabaran yang disertai dengan penjelasan.

Tambahnya, bagi tuduhan pertama, Syed Saddiq memanggil saksi pembelaan ketiga, iaitu bekas Ketua Penerangan Armada, Ulya Aqamah Husamudin untuk mencabar naratif pendakwaan.

“Hakim bicara gagal untuk mengambil kira kes pembelaan, dan ini menyebabkan pelanggaran terhadap Seksyen 182A Kanun Tatacara Jenayah.

“Hak perayu untuk mendapatkan perbicaraan yang adil terjejas teruk disebabkan oleh kegagalan untuk menimbangkan pelbagai hujahan serius yang dikemukakan oleh perayu pada akhir kes pembelaan, kegagalan untuk mengambil kira pembelaan ini telah menjejaskan perayu,” katanya pada hari pertama pendengaran rayuan berhubung sabitan salah dan hukuman di mahkamah Rayuan di sini semalam.
.
Katanya, hakim yang mendengar dan memutuskan kes yang dihadapi oleh Ahli Parlimen Muar, itu telah melakukan satu salah arah teruk apabila gagal mengambil kira saksi pendakwaan telah memberi keterangan dalam keadaan tertekan.

Menurutnya, saksi pendakwaan ke-13 (SP13), bekas Penolong Bendahari Armada, Rafiq Hakim Razali telah berada di bawah tekanan yang teruk sewaktu ditahan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) sehingga ia boleh memberikan satu inferens bahawa saksi itu mereka-reka keterangan bagi memuaskan hati SPRM.

“Saksi sendiri ketika ditahan reman oleh SPRM memberitahu isterinya “bagi tahu pada sahabat-sahabat di luar, tak payah buat-buat PC (sidang media) ni apa, sebab kat dalam, saya yang kena teruk, bukan mereka kat luar,” kata peguam itu.

Selain itu, hakim bicara juga gagal mengambil kira bahawa pembelaan yang dikemukakan oleh bekas Menteri Belia dan Sukan itu bukanlah satu penafian semata-mata sebaliknya disokong oleh fakta dan bukti.

Sementara itu, seorang lagi peguam Syed Saddiq, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden menyatakan, Syed Saddiq tidak boleh dikatakan telah menyalahgunakan wang kerana wang tersebut adalah miliknya.

“Hasil yang dikutip pada majlis meraih dana adalah bagi membantu perayu (Syed Saddiq) dalam kempen pilihan rayanya kerana beliau telah menggunakan duitnya sendiri dalam kempen tersebut. Oleh itu wang tersebut adalah miliknya dan bukan milik Armada.

“Berdasarkan dapatan hakim bicara sendiri mendapati bahawa wang tersebut adalah milik perayu dan tindakan Syed Saddiq meminta Rafiq untuk memindahkan wang RM120,000 ke dalam akaun peribadinya bukanlah satu salah guna. Adalah jelas Rafiq menyimpan wang RM120,000 itu bagi pihak Syed Saddiq,” kata peguam itu.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Penolong Bendahari Armada ketika itu, Rafiq Hakim Razali yang diamanahkan dana Armada berjumlah RM1 juta untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2, di sini, pada 6 Mac 2020.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya, di sini, antara 8 hingga 21 April 2018.

Syed Saddiq juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Pendengaran rayuan bersambung hari ini dengan hujah pihak pendakwaan.

Sementara itu, pelakon dan penyanyi, Bella Astillah memohon doa terbaik daripada orang ramai berhubung pendengaran rayuan Syed Saddiq itu.

Bagaimanapun, Bella yang diiringi oleh seorang pengawal peribadi wanita enggan mengulas lanjut ketika ditanya mengenai prosiding yang berlangsung semalam.

“Saya tak boleh komen sebab saya menghormati keputusan mahkamah, jadi kita tunggu esok ya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar Istana Kehakiman di sini semalam.

Terdahulu, Bella dilihat keluar secara beriringan bersama Syed Saddiq dari Istana Kehakiman sekitar pukul 3 petang dengan ditemani beberapa individu.

Dalam pada itu, ditanya sama ada kehadirannya ke mahkamah semalam kerana diajak oleh Syed Saddiq atau atas dasar persabahatan, Bella secara ringkas menjelaskan ia atas semua faktor.

“Semuanya. Wakil Primavalet pun datang juga,” katanya yang juga duta jenama fesyen pakaian itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN