PETALING JAYA: Sistem ramalan yang cekap dan respons pantas terhadap perubahan cuaca adalah kunci untuk mengurangkan risiko bencana.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tema Hari Meteorologi Sedunia 2025 mengingatkan bahawa setiap saat dalam menyampaikan amaran awal boleh menyelamatkan nyawa.
Katanya, usaha mengurangkan risiko bencana bergantung kepada sejauh mana sistem ramalan yang cekap dan respons pantas terhadap perubahan cuaca.
Beliau turut mengucapkan selamat menyambut Hari Meteorologi Sedunia 2025 yang disambut setiap 23 Mac kepada anggota Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) yang tidak pernah jemu menyampaikan maklumat cuaca dengan tepat dan pantas demi keselamatan rakyat.
“Anda adalah barisan hadapan cuaca dalam memastikan negara lebih bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
“Semoga usaha ini terus dihargai dan menyedarkan masyarakat tentang kepentingan maklumat cuaca dalam kehidupan seharian,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat semalam.
Katanya, tema tahun ini, ‘Bersama Rapatkan Jurang Amaran Awal’ mengingatkan kita bahawa setiap saat dalam menyampaikan amaran awal boleh menyelamatkan nyawa.
Tiga negeri iaitu Johor, Sabah dan Sarawak ketika ini dilanda banjir dan kelmarin, Pusat Kawalan Bencana Negara, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menyalurkan dana bernilai RM50.61 juta bagi membantu mangsa di Johor.
Katanya, dana termasuk RM50 juta Bantuan Wang Ihsan, RM500,000 pengurusan pengoperasian bencana dan RM114,609 penyelenggaraan pusat pemindahan sementara.-UTUSAN











