Sisa plastik import wajar dikurangkan secara berfasa

Sisa plastik import wajar dikurangkan secara berfasa

TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemberhentian pengimportan sisa plastik secara mendadak boleh menjejaskan pengeluaran produk plastik dalam negara, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Bagaimanapun, langkah mengurangkan kebergantungan feedstock sisa plastik import mampu menyebabkan premis dan kilang kitar semula beralih kepada penggunaan sepenuhnya sumber sisa plastik tempatan sekaligus meningkatkan kadar kitar semula dalam negara.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abd. Aziz berkata, bagi mengimbangi keperluan menarik pelaburan berkualiti dan mempromosikan inisiatif ekonomi kitaran dalam negara, pihaknya berpandangan adalah wajar supaya aktiviti pengimportan sisa plastik diteruskan.

Katanya, ia bagi menampung keperluan dan permintaan industri pembuatan plastik dalam negara. 

“Namun, kebergantungan kepada sisa import wajar dikurangkan secara berfasa (phase out) selaras dengan Pelan Hala Tuju Malaysia Ke Arah Sifar Penggunaan Plastik Sekali Guna 2018-2030,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Negara yang dimuat naik, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Robert Lau Hui Yew yang memintanya menyatakan langkah diambil MITI untuk mencegah pengimportan sisa plastik dan bahan buangan berbahaya.

Tengku Zafrul berkata, dalam memperkasakan tatakelola pengimportan sisa plastik, kerajaan menyelaraskan kaedah sama yang digunapakai untuk pengimportan sekrap besi dan sekrap kertas pada masa ini. 

Katanya, pelaksanaan itu akan memastikan mekanisme pengawalan sisa import adalah dikawal selia di bawah satu agensi sahaja iaitu Institut Sirim QAS International Sdn. Bhd.

“Pemerkasaan tatakelola pengimportan sisa plastik melalui mekanisme kawalan lebih efektif ini akan menyokong pembangunan industri pembuatan plastik dalam negara ke arah matlamat mencapai keseimbangan ekonomi dan alam sekitar.

“Selain mewujudkan rantaian bekalan lebih lestari selaras dengan hasrat kerajaan agar sektor pembuatan mengamalkan konsep pengeluaran mampan dan mempraktikkan ekonomi kitaran,” katanya.

Beliau berkata, langkah itu dilihat dapat memberi peluang kepada industri tempatan untuk mengatur strategi yang lebih efektif. 

“Selain itu, pihak industri perlu bersedia untuk menyokong model perindustrian yang bersifat restoratif atau regeneratif dengan reka bentuk, menggunakan close loop material flow dalam sistem ekonomi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN