RANTAU PANJANG: Pintu sempadan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kurantin dan Keselamatan (ICQS), Rantau Panjang di sini, lengang selepas insiden letupan bom dan berbalas tembakan yang berlaku kelmarin.
Tinjauan Utusan Malaysia semalam mendapati, keadaan di situ yang sebelum ini sibuk dengan urusan keluar masuk bertukar menjadi sunyi dan tidak kelihatan kenderaan Malaysia beratur panjang memasuki negara jiran itu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7 malam itu, dua anggota sukarelawan pertahanan maut dikenali sebagai Muhammad Sabri Naswan dan Paipim.
Difahamkan, insiden tersebut menyebabkan lapan lagi individu mengalami kecederaan.
Tiga lokasi itu ialah berhampiran Pasaraya Big C, persimpangan lampu isyarat dan padang bola sepak berdekatan dengan Stadium Sungai Golok.
Hanya van dengan nombor pendaftaran Thailand yang membawa rakyat negara itu dilihat berada di pekarangan ICQS.
Pengusaha motor tambang, Rudi Awang, 40, berkata, tidak ramai penumpang yang terdiri daripada rakyat Malaysia menggunakan khidmat motosikalnya untuk masuk ke Sungai Golok, semalam.
Dia mengakui perkhidmatan motor tambang sememangnya kurang mendapat sambutan orang ramai, namun keadaan berbeza selepas insiden letupan itu.
“Apabila berlaku kejadian ini, orang ramai khususnya rakyat Malaysia lebih berjaga-jaga dan bimbang untuk masuk ke Sungai Golok melalui ICQS Rantau Panjang. Mungkin rakyat Malaysia takut untuk masuk ke Thailand selepas tular insiden itu dalam media sosial,” katanya.
Seorang penduduk Rantau Panjang, Salmah Mohamad, 50, menyifatkan situasi lengang di ICQS Rantau Panjang itu hanya sementara dan keadaan kembali sedia kala selepas ini.
“Penduduk di sini sudah lali dengan insiden letupan bom di Sungai Golok. Kebimbangan penduduk hanya bersifat sementara dan pastinya keadaan di sana kembali meriah tidak lama lagi.
“Apabila keadaan reda, rakyat Malaysia berkunjung semula ke Selatan Thailand terutama untuk berbuka puasa dan makan-makan selepas Hari Raya Aidilfitri,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, rakyat Malaysia terutama di negeri ini dinasihatkan menangguhkan sementara hasrat untuk berkunjung ke Selatan Thailand.
Beliau bagaimanapun berkata, penduduk mempunyai urusan penting dan tidak dapat dielakkan dinasihatkan supaya berhati-hati.
Katanya, hal ini ada dalam kalangan penduduk Kelantan masuk ke Selatan Thailand di pekan Golok untuk berbuka puasa sepanjang Ramadan.
“Saya tidak boleh halang ke sana. Cuma berhati-hatilah,” katanya.










