PETALING JAYA: Malaysia berdepan kekurangan fasiliti dan pakar kanser atau onkologi yang serius terutama di hospital kerajaan yang dikhuatiri tidak mampu menampung pertambahan pesakit pada masa hadapan.
Kekurangan kritikal pakar serta kemudahan rawatan akan menyebabkan pesakit tidak dapat rawatan segera sekali gus meningkatkan kadar kematian.
Berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan, ketika ini hanya terdapat 175 pakar onkologi di seluruh negara.
Manakala jumlah pesakit direkodkan adalah 48,639 orang dengan nisbah seorang doktor merawat 277 pesakit.
Institut Kanser Negara (IKN) meramalkan jumlah pesakit kanser akan meningkat dua kali ganda menjelang 2040 berbanding jumlah yang direkodkan pada 2020 iaitu 48,639 kes.
Ini bermakna satu daripada setiap 10 individu di Malaysia akan menerima diagnosis kanser sepanjang hayat mereka.
Daripada segi jumlah pusat rawatan, Malaysia hanya mempunyai sembilan kemudahan rawatan kanser di bawah Kementerian Kesihatan antaranya IKN Putrajaya, Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Pulau Pinang serta Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah.
Pakar Kesihatan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, kapasiti pakar onkologi dan pusat rawatan tidak mampu menampung permintaan yang kian meningkat.
Katanya, lebih membimbangkan apabila pesakit perlu menunggu giliran lebih lama untuk mendapatkan janji temu dan rawatan sekali gus mengurangkan peluang untuk sembuh.
“Fasiliti untuk merawat dan menyaring pesakit kanser di Malaysia masih dalam keadaan yang belum memuaskan. Apatah lagi, pakar kanser tidak cukup menampung bilangan pesakit semakin meningkat
“Kita ada beberapa hospital kerajaan yang menawarkan rawatan, tetapi jumlahnya sangat tidak mencukupi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
IKN meramalkan jumlah pesakit kanser akan meningkat dua kali ganda menjelang 2040 daripada jumlah kes yang direkodkan pada 2020 iaitu 48,639 kes
Institut tersebut turut mendedahkan terdapat lima penyakit kanser yang sering menyerang rakyat Malaysia iaitu payudara, kolorektal atau kolon, paru-paru, nasofarinks atau kepala dan leher serta hati.
Dr. Sharifah Ezat berkata, kekurangan pakar dan pusat rawatan akan memaksa ramai pesakit menempuh perjalanan jauh untuk mendapatkan rawatan, menunggu lama untuk janji temu dan lebih menyedihkan, tidak sempat mendapatkan rawatan kerana penyakit mereka mencapai tahap kritikal.
“Kerana hospital kerajaan semakin kekurangan tenaga pakar, tempoh menunggu untuk rawatan semakin lama dan risiko pesakit kehilangan nyawa semakin meningkat.
“Kelewatan rawatan boleh menyebabkan kanser merebak dan bertambah teruk. Ada pesakit yang pada asalnya mempunyai peluang sembuh, tetapi kerana sistem yang lambat dan tidak efisien, mereka akhirnya tidak lagi mempunyai harapan untuk pulih,” katanya.
Menurut Dr. Sharifa, kerajaan perlu segera memperbanyakkan pusat rawatan kanser serta melatih lebih ramai pakar bagi menangani krisis ini.
“Kita tidak boleh lagi berlengah. Kita perlu menambah fasiliti rawatan, meningkatkan jumlah pakar, dan memastikan semua rakyat mendapat akses kepada rawatan yang berkualiti tanpa perlu menunggu terlalu lama.
“Selain itu, kesedaran mengenai kepentingan saringan awal juga perlu diperluaskan agar lebih ramai pesakit dapat dikesan lebih awal sebelum penyakit mereka menjadi terlalu parah,” katanya.
Mengikut data dikeluarkan Kementerian Kesihatan, golongan lelaki sering diserang penyakit kanser paru-paru iaitu 17 peratus manakala perempuan pula sering menghidap kanser payudara dengan 32.9 peratus daripada keseluruhan kes.
Mengambil dua kanser tersebut sebagai contoh, sekiranya kanser paru-paru dikesan awal iaitu pada Tahap 1 maka peratusan untuk pesakit hidup adalah 37.1 peratus tetapi sekiranya lewat dikesan iaitu pada Tahap 4, pesakit hanya mempunyai peluang serendah 6.3 peratus.
Bagi kanser payudara pula, pesakit mempunyai peluang yang sangat tinggi sekiranya dikesan pada Tahap 1 iaitu 87.5 peratus tetapi jika dikesan pada Tahap 4, peratusan untuk kelangsungan mereka menurun kepada 23.3 peratus.-UTUSAN










