Ramadan bukan sekadar bulan ibadah, tetapi untuk mengeratkan hubungan kasih sayang antara satu sama lain termasuk pasangan, ibu bapa dan adik-beradik.
Dalam perkahwinan misalnya, kasih sayang yang dahulunya membara boleh menjadi pudar seterusnya boleh hilang begitu sahaja.
Ini disebabkan pelbagai faktor seperti masalah curang, kewangan dan kurangnya komunikasi.
Minggu ini, saya kongsikan kisah Murni dan Hisham, (bukan nama sebenar).
Ramadan telah menjadi titik perubahan untuk mereka memperbaiki hubungan dan menyuburkan semula kasih sayang yang luntur.
Masing-masing mengambil peluang memperbaiki hubungan dan membina semula kebahagiaan yang hilang.
Berkat usaha dan doa, akhirnya pasangan ini kembali bersatu pada Syawal ketiga kira-kira dua tahun lalu.
Murni yang saya temui baru-baru ini berkata, dia tidak berniat untuk membuka kembali kisah silam, tetapi lebih kepada berkongsi inspirasi kehidupan mereka.
Memulakan cerita, Murni, telah berkahwin selama 10 tahun dengan Hisham, lelaki yang dikenali semasa sama -sama menuntut di salah sebuah universiti di utara tanah air.
Pasangan ini dikurniakan dua anak, Amirul dan Atie, (bukan nama sebenar) ketika itu masing-masing berusia lapan dan lima tahun.
Pada awal perkahwinan, mereka sangat bahagia. Namun, badai rumah tangga melanda apabila Hisham diberhentikan kerja akibat syarikat tempatnya bekerja mengalami masalah kewangan.
Kehidupan mereka berubah 360 darjah. Keadaan menjadi semakin sukar apabila Hisham mengambil masa lama untuk mendapat pekerjaan baharu.
Dalam tempoh itu, segala perbelanjaan rumah tangga, bil utiliti, makan minum sehinggalah sewa rumah jatuh kepada Murni yang ketika itu menjalankan perniagaan mengambil tempahan membuat kuih.
Pada mulanya, Murni cuba bersabar. Dia berusaha keras dalam perniagaannya untuk menampung keluarga.
Namun lama kelamaan, dia berasa terbeban.
Melihat suami masih tidak mendapat pekerjaan, ditambah pula dengan sikap panas baran Hisham yang tiba-tiba muncul dan keletihan Murni menguruskan rumah tangga menjadikan hubungan mereka semakin dingin.
“Ketika itu saya benar-benar penat, kecewa dan kadang- kadang berasa tidak adil kerana perlu menanggung segalanya sendirian,” imbas Murni.
Mereka sering bergaduh sehingga membuat keputusan untuk berpisah.
Selepas perceraian, mereka meneruskan kehidupan masing- masing.
Kata Murni, pada awalnya dia tidak terlalu memikirkan kesan awalnya, malah berasa lebih bebas selepas berpisah.
Namun selepas beberapa bulan, kehidupannya mulai berubah. Setiap kali Ramadan tiba, dia mula berasa kekosongan yang luar biasa.
Dia mula terkenangkan saat-saat menjalani kehidupan berumahtangga dengan Hisham. Terutama ketika berbuka puasa dan bertarawih bersama-sama.
Hisham yang turut menemani dalam pertemuan itu sempat mencelah bahawa dia turut merasai perasaan sama, namun egonya menghalang untuk menghubungi bekas isterinya itu.
Pada minggu terakhir Ramadan, Hisham menghubungi Murni dan memohon maaf.
Pada awalnya, Murni tetap dengan pendirian, tetapi dia dapat merasakan keikhlasan bekas suaminya itu.
Momen itu menjadi titik perubahan kepada mereka. Jika sebelum ini mereka berhubung sekadar untuk bertanya khabar anak-anak, lama-kelamaan bertukar menjadi luahan perasaan masing-masing.
“Sepanjang tempoh itu juga kami cuba muhasabah diri. Masing-masing cuba sedar kesilapan diri dan keinginan untuk memperbaiki semula hubungan,” sambung
Hisham.
Daripada situ, dengan penuh keinsafan, Hisham meluahkan isi hati dan berharap diberi peluang kedua.
Dalam suasana Ramadan, bulan penuh keberkatan, masing-masing mula meluangkan lebih banyak masa untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Sehinggalah pada ketiga Ramadan dua lalu, Hisham menyatakan hasrat untuk kembali rujuk.
Murni yang masih menyayangi Hisham, akhirnya setuju untuk rujuk selepas Aidilfitri.
“Sejujurnya saya memang menanti saat itu. Dengan hati terbuka dan gembira saya menerima kembali hasrat bekas suami untuk rujuk.
“Saya sangat gembira dan bersyukur kerana Ramadan telah melembutkan hati kami.
“Anak-anak adalah antara yang paling gembira apabila kami mengambil keputusan untuk rujuk kembali. Setiap kali melihat wajah anak-anak, saya sedar betapa pentingnya keluarga yang bersatu,” ujarnya.
Kata Murni, Ramadan adalah masa terbaik untuknya bermuhasabah diri.
Ketika itu hatinya lebih tenang dan dekat dengan Allah SWT sekaligus lebih memudahkan dia melihat kesilapan diri.
Tambah Murni, jika ada yang menghadapi masalah rumah tangga, mungkin Ramadan kali ini adalah peluang untuk merapatkan kembali hubungan dan membuka buku baharu.
Selepas apa yang berlaku, dia kini lebih memahami kepentingan berkomunikasi , kesabaran dan menganggap setiap yang berlaku adalah ujian yang diberi Allah SWT.
“Alhamdulilah, selepas rujuk sudah dua kali Ramadan kami jalani bersama.
“ Kehadiran Ramadan adalah sebagai titik perubahan dalam rumah tangga dan saya berjanji untuk terus menjaga hubungan berlandaskan kasih sayang kerana Allah SWT dan kesabaran,” ujarnya.
Sarannya, jika ada pasangan yang sedang diuji seperti mereka, sentiasa ingat bahawa anak-anak anugerah yang perlu dilindungi dengan kasih sayang.
“Kadang-kadang memberi peluang kedua, bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi untuk kebahagiaan orang yang kita sayang,” ujarnya.
Tambahnya, ujian yang menimpa dalam rumah tangga mengajar mereka untuk lebih bersyukur dan menghargai satu sama lain.
Kisah Murni dan Hisham membuktikan bahawa setiap ujian ada hikmahnya dan peluang kedua itu wujud jika seseorang benar-benar ingin berubah.
Sesungguhnya, puasa bukan sahaja melatih umat Islam berjihad melawan nafsu, menyuci diri dari perbuatan keji dan mungkar, tetapi juga mendidik rohani dan jasmani daripada segala perkara yang tidak baik dan sia-sia.
Sebagaimana Firman Allah SWT yang bermaksud: Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” (Al-Baqarah: 183).-UTUSAN











