SEHARUSNYA kita bersyukur kerana dipanjangkan usia dapat sekali lagi meneruskan ibadat berpuasa bulan Ramadan pada tahun ini untuk membersihkan jiwa kita daripada segala kemungkaran terutamanya yang datang dari hati kita sendiri.
Justeru peluang ini, kata Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Pahang, Ustaz Alwi Muda, perlu direbut oleh semua sebagai usaha menghapuskan segala dosa menerusi ibadat di bulan mulia ini dan memohon keampunan Allah SWT.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan, ibadah berpuasa, mendirikan solat, bertarawih, bertadarus al-Quran, menunaikan zakat dan bersedekah serta sebaris dengan amalan lain adalah tanggungjawab bukan sahaja di bulan Ramadan, malah hari-hari biasa sebagai seorang Muslim dianjurkan melakukan perkara tersebut.
Perkara berkenaan katanya, bertepatan dengan firman Allah SWT dalam surah az-Zariyat, ayat 56 yang bermaksud: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.”
“Sepatutnya golongan muda malah warga emas sekalipun menjadikan waktu yang sesuai ini untuk melakukan apa juga hanya kerana Allah SWT.
“Kembali muhasabah diri sama ada membetulkan kesalahan dengan menginsafkan diri atau membaiki diri yang belum dianggap sempurna umpamanya melalaikan tanggungjawab beribadat serta tindakan mungkar selama ini,” katanya.
Tambahnya, peluang ini jugalah sewajarnya diambil oleh golongan muda dengan menjadi imam dan bilal di masjid dan surau sepanjang bulan Ramadan yang mulia ini.
“Perkara ini berlaku setiap kali Ramadan, tetapi ada sebilangan tempat khususnya masjid atau surau di kampung dan pedalaman masih didominasi tugas berkenaan oleh kalangan peringkat veteran,” katanya.
USTAZ ALWI MUDA
Tarikh Lahir : 2 April 1965
Tempat Lahir : Kampung Losong, Kuala Terengganu
Pendidikan:
SK Losong, Kuala Terengganu (1972 – 1977)
SMK Sultan Ahmad, Kuala Terengganu (1978 – 1982)
SMK Ibrahim Fikri, Kuala Terengganu (1983 – 1984)
Pendidikan Tinggi :
Maktab Perguruan Sri Pinang, Pulau Pinang (1984 – 1986)
Ijazah Sarjana Muda Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Pengantar Universiti Putra Malaysia
(1998 – 2000)
Pekerjaan:
Guru (Tahun 1987 – 2021)
Jawatan Sekarang :
Pengarah YADIM Negeri Pahang (2023 sehingga ini)
Penglibatan NGO Islam:
1. Bendahari Guru Takmir Masjid dan Surau Negeri Pahang
( 2024 sehingga ini )
2. Penceramah di Masjid dan Surau
3. Pengerusi NGO Pertubuhan Peduli Progresif ( Tahun 2019 hingga ini )
4. Pengerusi NGO Pertubuhan Santuni Ummah Pahang ( Tahun 2019 hingga ini )
5. AJK Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Pahang Cawangan Kuantan
Menurut Alwi, YADIM selaku agensi agama yang menegakkan usaha dakwah Islamiah dan kebajikan penduduk menyarankan golongan muda yang mempunyai kemahiran tahfiz al-Quran atau lepasan universiti ataupun sekolah agama mengambil tugas berkenaan bukan sahaja untuk manfaat ganjaran diri malah menarik ramai golongan seusia mereka hadir mengimarahkan masjid.
Beliau berkata, YADIM sentiasa mencadangkan pihak pengurusan masjid sepatutnya memberikan tanggungjawab kepada orang muda mengendalikan kuliah, tazkirah bagi pengisian program seperti Remaja Raikan Ramadan, Belia Cinta Ramadan dan sebagainya.
Katanya, saban tahun masjid dan surau di seluruh negara mengadakan pelbagai program menarik untuk meningkatkan kekuatan ruhiyah umat Islam sepanjang Ramadan seperti solat tarawih, tadarus al-Quran serta aktiviti mengimarahkan rumah ibadat itu yang wajar melibatkan semua golongan muda bukannya warga emas semata-mata.
Beliau menegaskan perkara berkenaan selari dengan sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh al-Bukhari (438), maksudnya: “Dijadikan bagiku bumi ini sebagai masjid (tempat bersujud)”.
Dalam pada itu, katanya, bagi golongan muda yang membantu tugasan imam dan bilal di masjid tidak perlulah mengharapkan sebarang bentuk ganjaran wang ringgit hanya Allah yang tahu setiap kebaikan serta usaha dakwah yang dilakukan.
Katanya, sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Muslim bermaksud: “Sesungguhnya balasan yang kamu peroleh apabila Allah memberikan hidayah kepada seseorang melalui usaha dakwah kamu, adalah lebih baik bagi kamu berbanding kamu mendapat unta merah’.
Tambahnya, hadis di atas antaranya menceritakan sikap Nabi SAW yang tidak mengharapkan ganjaran atau upah manusia apabila melakukan tugas dakwah atau mengajar agama yang diwajibkan ke atasnya. –UTUSAN










