KEMAMAN : Sebanyak 215 kes mediasi antara masyarakat diselesaikan Pusat Mediasi Komuniti (PMK) secara proaktif, di luar perundangan pada tahun lalu.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, PMK yang diselia Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional (JPNIN) adalah platform bukan perundangan bagi membantu komuniti menyelesaikan pertikaian dan konflik di peringkat akar umbi.
“Antara skop perkhidmatan mediasi yang dikendalikan oleh pusat ini ialah isu berkaitan kejiranan setempat seperti parkir, gangguan bunyi bising, pergaduhan antara jiran dan isu alam sekitar,” katanya selepas merasmikan Program Gerak Rahmah Jom Masak Bubur Lambuk Perpaduan Peringkat Kebangsaan 2025 di Kerteh, di sini, hari ini.
Aaron berkata, setakat ini sebanyak lapan PMK telah ditubuhkan di seluruh negara.
“Kita bercadang menubuhkan lima lagi PMK tahun ini melibatkan kerjasama dengan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Daerah Tuaran Sabah, Think City dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Perumahan Rakyat Seri Kota Kuala Lumpur.
“Dua lagi pusat itu akan ditubuhkan di Pusat Aktiviti Perpaduan (PAP) di Kemaman, Terengganu dan Pejabat Perpaduan Daerah Pontian Johor,” katanya. – UTUSAN