Program repatriasi migran dalam proses dilanjutkan

Program repatriasi migran dalam proses dilanjutkan

SAIFUDDIN Nasution Ismail menyerahkan permit masuk kepada warga asing yang berkahwin dengan rakyat tempatan sempena Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Iftar di Kampung Permatang Tok Dik, Padang Serai di Kulim.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Jabatan Imigresen dalam proses melanjutkan program repatriasi migran pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dijadualkan tamat pada 31 Mac ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Jabatan Imigresen sedang mendapatkan persetujuan Jabatan Peguam Negara untuk melaksanakan pendekatan kompaun kepada pendatang tanpa izin berbanding pendakwaan.

Katanya, amat penting untuk mendapatkan persetujuan Jabatan Peguam Negara bagi membolehkan hanya kompaun dikenakan berbanding siasatan yang perlu membuka kertas pendakwaan.

Kata beliau, mengikut dasar sedia ada Program Repatriasi Migran akan berakhir pada 31 Mac ini dan pihaknya dalam proses melanjutkan program berbentuk pengampunan itu kepada PATI.

“Kalau ikut undang-undang kita akan buka kertas siasatan terhadap mereka yang membawa ke muka pengadilan dan berakhir di penjara.

“Jadi Imigresen sekarang sedang satu lagi proses iaitu untuk mendapatkan persetujuan Jabatan Peguam Negara untuk proses kompaun sahaja berbanding dengan proses siasatan kertas pendakwaan. Itu sahaja satu proses yang kami perlu selesaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Majlis Iftar Bersama Menteri Dalam Negeri, Jabatan Imigresen Malaysia Tahun 2025 di sini, kelmarin.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, sejumlah 246,732 PATI menyertai Program Repatriasi Migran dengan tampil secara sukarela kepada Jabatan Imigresen untuk pulang ke negara asal.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, kesemua mereka melibatkan PATI dari 115 buah negara dengan pendaftaran tertinggi diterima dari Indonesia, Bangladesh, India, Myanmar dan Pakistan.

Saifuddin berkata, Program Repatriasi Migran merupakan alternatif yang diambil oleh Kementerian Dalam Negeri dan imigresen supaya pilihan itu lebih bersifat manusiawi berbanding keberadaan PATI di negara ini yang berakhir di depoh tahanan.

Menurut beliau, program repatriasi pada tahun lepas berjaya mengutip sebanyak RM120 juta bayaran kompaun daripada PATI yang sukarela menyerah diri untuk pulang ke negara masing-masing.

“Mereka kena tampil dan bayar kompaun kerana sebenarnya mereka (PATI) berada di sini pun sudah menyalahi undang undang. Jadi kita buka ruang supaya mereka boleh balik kerana kalau pasukan penguat kuasa Imigresen buat operasi, mereka ditangkap dan berakhir di depoh,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN