PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan mercun bernilai RM106 juta dalam operasi bersepadu bermula 1 Januari hingga 23 Mac lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata, Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) merekodkan nilai rampasan tertinggi iaitu RM48.5 juta membabitkan lima kes dan enam tangkapan.
Katanya, Pasukan Gerakan Am (PGA) mencatatkan jumlah kes tertinggi dengan 32 kes, melibatkan 42 tangkapan dan nilai rampasan sebanyak RM31.7 juta.
“Pasukan Polis Marin (PPM) pula merekodkan 20 kes dengan 15 tangkapan serta nilai rampasan RM24.6 juta manakala Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) mencatatkan tiga kes dengan lima tangkapan dan nilai rampasan RM1.14 juta.
“Secara keseluruhan, sebanyak 60 kes direkodkan dengan 68 individu ditahan dan nilai rampasan mencecah RM106 juta,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurutnya, kejayaan ini hasil daripada pemantauan rapi serta operasi berterusan bagi membanteras penyeludupan mercun yang semakin berleluasa sepanjang musim perayaan.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak terbabit dalam aktiviti jual beli mercun secara haram dan menyeru masyarakat untuk menyalurkan maklumat berkaitan kepada pihak berkuasa.
“Kerjasama orang awam amat penting dalam usaha membanteras penyeludupan mercun yang bukan sahaja menyalahi undang-undang tetapi juga boleh mengancam keselamatan nyawa serta harta benda.
“PDRM akan terus memperketatkan kawalan dan memperhebat operasi bagi memastikan aktiviti penyeludupan mercun dapat dibanteras secara menyeluruh,” katanya.
Jelasnya, PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam penyeludupan dan penjualan mercun secara haram dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang didapati melanggar undang-undang.
Mengulas mengenai pengeluaran permit penjualan bunga api dan mercun bagi musim perayaan Aidilfitri, Razarudin berkata, PDRM mengeluarkan sebanyak 5,113 permit dalam tempoh 1 Mac hingga 11 Mac lalu.
Katanya, angka itu adalah daripada jumlah keseluruhan 7,223 permohonan yang diterima sepanjang tempoh terbabit.
“Sebanyak 264 permohonan tidak diluluskan manakala 1,846 permohonan masih dalam proses kelulusan.
“PDRM sentiasa memastikan setiap permohonan yang diluluskan mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan bagi mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini,” katanya.
Tambah Razarudin, tindakan tegas akan diambil terhadap individu atau peniaga yang menjual bunga api dan mercun tanpa permit.
“Tindakan akan dijalankan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957, yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
“Setakat ini, bagi tempoh 1 Mac hingga 11 Mac 2025, pihak polis melakukan 31 tangkapan dan rampasan berkaitan penjualan bunga api dan mercun secara tidak sah.
“PDRM tidak akan berkompromi dalam memastikan pematuhan undang-undang,” katanya.
Tambahnya, sebarang pelanggaran syarat permit yang diberikan boleh mengakibatkan tindakan pembatalan permit selain rampasan barangan terlibat.
“Peniaga dinasihatkan agar mematuhi syarat yang ditetapkan bagi mengelakkan tindakan undang-undang.
“PDRM akan terus memperketatkan penguatkuasaan sepanjang musim perayaan ini bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara,” katanya.- UTUSAN










