PM tegas perangi ketirisan, tiada kompromi soal rasuah

PM tegas perangi ketirisan, tiada kompromi soal rasuah

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dengan ketirisan dan rasuah yang merugikan negara serta membantutkan pembangunan.

Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, cabaran struktur diakui masih wujud dan menekankan keperluan untuk meningkatkan produktiviti, memperkukuh daya saing serta membina ketahanan ekonomi berdasarkan prinsip manusiawi dan tatakelola yang baik.

Katanya, Perdana Menteri turut mengambil maklum laporan tahunan terkini oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SSM) yang menunjukkan ekonomi negara terus berkembang pesat.

“Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia mencatat pertumbuhan 5.1 peratus pada 2024, meningkat daripada 3.6 peratus pada tahun sebelumnya.

“Ini melepasi unjuran awal kerajaan serta jangkaan penganalisis bebas. Ia bukti bahawa reformasi ekonomi sudah mula membuahkan hasil awal,” katanya dalam taklimat harian Pejabat Perdana Menteri hari ini.

Beliau berkata, pertumbuhan itu didorong oleh pelaburan domestik yang tertinggi dalam tempoh sedekad, mencerminkan keyakinan pelabur terhadap hala tuju dasar negara.

Selain itu, nilai pasaran modal turut mencatat rekod baharu sebanyak RM4.2 trilion, dengan kadar pertumbuhan melebihi 11 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Kerangka Ekonomi Madani, yang dilancarkan pada 27 Julai 2023, bukan sekadar pelan dasar tetapi satu usaha bersama membina ekonomi lebih adil, lestari, dan menyeluruh agar pertumbuhan negara dapat dinikmati oleh semua lapisan rakyat, bukan hanya golongan atasan atau elit,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri mengarahkan agensi kerajaan serta pihak berkaitan supaya segera turun padang bagi membantu pengurusan pasca banjir, khususnya dalam membersihkan kediaman mangsa sebelum sambutan Aidilfitri.

“Mengambil kira situasi di Johor dan Sabah yang kini beransur pulih, beliau menyeru badan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta untuk bersama-sama menggembleng tenaga bagi memudahkan urusan mangsa banjir,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN