Pertandingan jawatan Ketua Pemuda PKR masih terbuka - Utusan Malaysia

Pertandingan jawatan Ketua Pemuda PKR masih terbuka

MUHAMMAD Kamil Abdul Munim (kiri) menyantuni penduduk di Parlimen Tambun semasa menjadi wakil Perdana Menteri dalam jelajah Kasih Ramadan di Ipoh semalam. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim menyifatkan pertandingan jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat masih terbuka, meskipun hanya beliau yang mengumumkan bertanding jawatan tersebut setakat ini.

Ini selepas beberapa nama seperti Ahli Parlimen Sungai Petani, Mohammed Taufiq Johari hanya menawarkan diri bertanding Naib Ketua manakala Ketua AMK Selangor, Muhammad Izuan Ahmad Kasim memilih bertanding jawatan Timbalan Ketua.

“Masih terlalu awal. Penamaan calon bagi pertandingan peringkat pusat akan dijalankan pada April dan ruang itu masih terbuka.

“Keadilan (PKR) meraikan demokrasi, ruang untuk mana-mana pihak menawarkan diri menjadi pemimpin kepada mana-mana peringkat termasuk AMK masih lagi terbuka. Insya-Allah kita tunggu pada waktu dan ketikanya nanti kalau ada pencalonan umpamanya daripada mana-mana pihak dan kita raikan bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa mengetuai jelajah Kasih Madani bersempena bulan Ramadan Parlimen Tambun di sini semalam.

Pada pemilihan PKR untuk sesi 2022-2025 lalu, jawatan Ketua AMK dimenangi oleh Adam Adli Abd. Halim yang kini merupakan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, setelah mengalahkan Fahmi Zainol.

Muhammad Kamil selaku penyandang Timbalan Ketua AMK dilihat berpeluang cerah naik pangkat setelah Adam Adli tidak lagi layak dari segi umur untuk mengetuai sayap pemuda PKR manakala Fahmi dilaporkan sekadar ingin mengekalkan jawatan Ahli Majlis Pimpinan Pusat.

Sebelum itu, Muhammad Kamil mengetuai jelajah sebagai wakil untuk menyampaikan sumbangan peruntukan khas oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada 1,000 asnaf dalam Parlimen Tambun berjumlah RM210,000.

“Diharapkan sumbangan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim ini dapat sedikit sebanyak meringankan beban kelompok mereka yang kurang kemampuan dan kurang bernasib baik dalam bulan Ramadan dan tidak lama lagi menyambut Aidilfitri,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya