MELAKA : Seorang penunggang motosikal maut selepas bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Sungai Putat, Melaka Tengah, lewat malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.10 malam, mangsa, Muhammad Syabil Hakimi Mohamad Subar, 27, yang menunggang motosikal Yamaha MT-25 dari arah Aeon Ayer Keroh menuju ke Program Perumahan Rakyat (PPR) Sungai Putat, dipercayai melanggar sebuah Toyota Vellfire yang keluar dari simpang berhampiran Restoran Tom Yam Klasik.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, perlanggaran tersebut menyebabkan Muhammad Syabil maut di lokasi kejadian.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat. Sementara itu, pemandu Toyota Vellfire, Suffian Bin Yahya, 61, tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kenderaan MPV yang dipandu Suffian keluar dari simpang sebelah kiri, menyebabkan pelanggaran dengan motosikal mangsa yang sedang bergerak lurus,” katanya kepada pemberita di sini.
Tambahnya, pihak polis telah melawat lokasi kejadian dan menjalankan siasatan lanjut, termasuk mengesan saksi bebas serta menghantar kenderaan terlibat ke PUSPAKOM untuk pemeriksaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Ahmad Aqil Bin Yusoff di talian 013-9393747 bagi membantu siasatan.-UTUSAN