KEMAMAN : Seorang pensyarah di sebuah institut kemahiran di daerah ini mengaku tidak bersalah atas lapan pertuduhan melakukan seks dengan menggunakan objek dan persetubuhan luar tabii terhadap dua pelajar perempuan, tahun lalu.
Tertuduh, Ahmad Syahir Sharifudeen, 38, membuat pengakuan itu ketika semua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim, Wan Suhaila Mohd.
Pada prosiding hari ini, Ahmad Syahir menghadapi lima pertuduhan melakukan hubungan seks menggunakan jari dan alatan mainan seks menyerupai kemaluan lelaki terhadap kedua-dua mangsa yang berusia 19 tahun.
Tertuduh juga berdepan dengan tiga pertuduhan melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan tabii terhadap salah seorang mangsa, tanpa kerelaannya.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan lelaki itu di dalam sebuah kereta di tempat letak kereta Mesra Mall di Kemasik, di sini dan berhampiran Hotel Awana Kijal di sini, pada 17 November hingga 1 Disember, tahun lalu.
Bagi kesalahan melakukan seks menggunakan objek, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara lima tahun sehingga 30 tahun dan sebatan.
Bagi kesalahan melakukan persetubuhan luar tabii pula, dia didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara antara lima tahun sehingga 20 tahun bersama sebatan.
Hakim, Wan Suhaila membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM23,000 bagi kesemua pertuduhan dan tertuduh perlu melaporkan diri pada minggu pertama setiap bulan di balai polis berhampiran.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret, lelaki itu juga mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan melakukan kekerasan jenayah dengan mencabul mangsa dan memiliki bahan lucah.
Ahmad Syahir didakwa dengan tiga pertuduhan melakukan kekerasan jenayah dengan niat dan maksud mencabul kehormatan kedua-duanya mangsa yang sama, pada masa dan lokasi sama dengan pertuduhan di Mahkamah Sesyen.
Bagi kesalahan ini, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara hingga 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau kedua-duanya sekali.
Tertuduh juga turut didakwa memiliki bahan-bahan lucah iaitu dua jenis alat mainan seks menyerupai kemaluan lelaki di dalam keretanya di Institut Kemahiran Belia Negara, Kemasik pada pukul 12.15 malam, pada 13 Mac lalu.
Kesalahan itu dilakukan tertuduh mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin keseluruhan sebanyak RM10,000 bagi keempat-empat pertuduhan.
Kedua-dua mahkamah turut menetapkan 30 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes untuk tertuduh melantik peguam. – UTUSAN