MELAKA: “Nak makan atau minum sendiri pun sudah jemu, lebih baik sedekah lebihan makan kepada golongan memerlukan”.
Demikian pandangan sebahagian besar peniaga Bazar Ramadan MITC, Ayer Keroh di sini menyertai inisiatif My Save Food (MSF) bertujuan menyelamatkan lebihan makanan tidak habis dijual daripada dibuang.
Peniaga air balang, Hanafi Ramli, 39, berkata, dia tidak menetapkan kuantiti sumbangan sebaliknya bergantung jualan pada hari tersebut.
Katanya, secara purata dia menyerahkan antara 15 hingga 20 bungkus air sehari yang berharga RM4 sebungkus kepada petugas sukarela untuk diagihkan kepada golongan sasar.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati para peniaga mula membungkus lebihan makanan pada pukul 7 malam sebelum petugas sukarela datang ke setiap gerai untuk membuat kutipan.
Sementara itu, peniaga makanan, Airini Mohamad Yazid, 31, berkata, dia menyasarkan untuk menjual 300 bungkus nasi lemak dan nasi ayam penyet sehari manakala selebihnya akan diberikan kepada petugas sukarela.
Menurutnya, dia tidak terlalu memikirkan keuntungan sebaliknya berasa puas kerana dapat berkongsi rezeki.
“Saya menganggap lebihan makanan ini asbab untuk saya bersedekah. Daripada buang lebih baik beri sahaja dapat juga pahala dan manfaatnya.
“Sebelum ini saya sedekahkan sendiri lebihan makanan kepada pusat-pusat tahfiz. Kehadiran petugas sukarela kali ini membantu memudahkan para peniaga untuk berkongsi rezeki,” katanya yang telah tujuh tahun berniaga bazar Ramadan. – UTUSAN










