PETALING JAYA: Seorang pengurus syarikat mengalami kerugian RM2.08 juta selepas diperdaya sindiket penipuan pelaburan tidak wujud yang dipromosikan di media sosial.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, mangsa berusia 52 tahun itu berminat menyertai pelaburan saham dikenali sebagai TWYAE Block selepas melihat iklan di Facebook pada Ogos tahun lalu.
“Mangsa kemudian dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp ‘Charles Portfolio Strategy Center’ yang dikendalikan individu bernama Charles.
“Bagi tujuan pelaburan, mangsa membuat sembilan transaksi pembayaran ke sembilan akaun bank berbeza berjumlah RM2.08 juta,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun menurutnya, mangsa menyedari diperdaya apabila diminta membuat pelbagai bayaran tambahan bagi mengeluarkan keuntungan yang dijanjikan.
“Susulan laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dengan tawaran pelaburan di media sosial yang menjanjikan pulangan tidak munasabah.
“Semak kesahihan syarikat pelaburan dengan Bank Negara Malaysia (BNM) atau Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) sebelum melabur.
“Sebarang panggilan mencurigakan boleh dilaporkan kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997,” katanya. – UTUSAN