BALING: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kanak-kanak empat tahun, Muhammad Fayyad Affan Mohamad Fakhri yang hilang sejak semalam dari rumahnya di Kampung Landak Paya, Kupang diteruskan pagi ini.
Ketua Zon 3 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba (PgKB) II Rahimi Ali berkata, setakat pukul 10 pagi tadi masih tiada sebarang petunjuk diperoleh di lokasi pencarian mangsa yang mengalami masalah pertuturan.
“Operasi disertai oleh 79 anggota terdiri daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, dan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Sungai Petani dan operasi turut dibantu anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta penduduk kampung.
“Operasi hari ini dipecahkan kepada tiga sektor di bahagian sungai, dibantu pasukan Unit Anjing Pengesan (K-9) JBPM dengan tiga anggota serta dua ekor anjing,” katanya.
Menurutnya, bagi sektor pertama mereka pecahkan kerja kepada carian di pesisir Sungai Kupang dan di dalam sungai oleh anggota PPDA.
Katanya, radius pencarian dilakukan dari lokasi kira-kira 500 meter dari Pos Kawalan Bomba (PKB) Kampung Paya Landak ke Kuala Pegang.
“Untuk sektor kedua di di hutan dipecahkan kepada agensi penyelamat lain manakala sektor ketiga di kebun kelapa sawit. Cabaran yang dihadapi ialah kita tidak mempunyai sebarang petunjuk untuk menjejak mangsa sama ada fokus pencarian tertumpu di darat atau sungai.
“Walaupun begitu, kita melakukan pencarian di seluruh kawasan dan untuk kedalaman sungai macam sekarang kita berada di Sungai Kupang dan ini lebih kurang satu meter namun kedalamannya tidak sekata, ada yang dalam hingga tiga meter dan 0.5 meter selain bergantung pada cuaca,” katanya. – UTUSAN