TAWAU: Gabungan antara Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mungkin berdepan cabaran dalam suasana politik semasa, namun rakyat tetap mengharapkan kesinambungan agenda pembangunan.
Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui berkata, meskipun wujud pandangan bahawa gabungan ini seolah-olah sukar dilaksanakan, apa yang lebih penting adalah usaha mencari persefahaman dalam perbezaan bagi memastikan kepentingan negeri terus terjamin.
“Sekarang kerajaan Perpaduan di Sabah sudah wujud. Jadi, apa pun yang kita bincangkan, yang paling penting ialah mencari formula paling sesuai untuk Sabah, supaya kita dapat mencapai matlamat Sabah Maju Jaya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau menyatakan keyakinan bahawa Sabah berada di landasan yang betul di bawah kepemimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan menyeru semua pihak bergerak bersama memastikan pembangunan, termasuk sektor kesihatan, selaras dengan keperluan rakyat.
“Jangan ada tindakan yang menyakitkan hati atau menimbulkan ketidakpercayaan kerana itu hanya akan menghalang kemajuan,” ujarnya yang juga Timbalan Bendahari Agung PBS.
Mengulas kemungkinan pilihan raya negeri diadakan lebih awal, Su Fui berkata, ia akan berlaku pada waktu yang tepat, namun keputusan bergantung kepada perkembangan semasa.
Menurut Ahli Majlis Tertinggi PBS itu lagi, sama ada BN, PH dan GRS dapat membentuk kerjasama atau tidak, ia bergantung pada proses perundingan yang melibatkan pelbagai aspek, termasuk pengagihan kerusi.
“Perkara ini masih dalam perbincangan dan kita tunggu keputusan dalam satu atau dua bulan lagi,” ujarnya sambil menegaskan kestabilan politik sebagai faktor penentu kemajuan negeri. – UTUSAN










