GRS tidak pernah bincang kerjasama dengan UMNO

GRS tidak pernah bincang kerjasama dengan UMNO

JONISTON BANGKUAI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak pernah membincangkan soal kerjasama dengan UMNO dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) parti itu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Penerangan (GRS), Datuk Joniston Bangkuai berkata, tindakan tersebut dibuat atas pertimbangan pandangan serta kehendak umum rakyat Sabah yang mahukan parti tempatan.

Justeru, katanya, UMNO perlu berhenti daripada membuat sebarang andaian seolah-olah GRS yang mahukan kerjasama dengan mereka.

“Mengambil kira sentimen rakyat Sabah, GRS dalam mesyuarat MT tidak berbincang langsung soal kerjasama dengan UMNO.

“UMNO sepatutnya cermin diri siapa sebenarnya liabiliti. UMNO jangan terlalu angkuh dengan memberi gambaran yang GRS sangat terdesak untuk bekerjasama dengan mereka,” katanya semalam.

Sebelum ini, Ketua Penerangan BN Sabah, Datuk Suhaimi Nasir berkata, keengganan Barisan Nasional (BN) Sabah untuk bekerjasama dengan GRS dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang adalah kerana tidak mahu menanggung ‘liabiliti’ meskipun Pakatan Harapan (PH) memutuskan untuk bekerjasama dengan parti berke­naan.

Beliau mengekalkan pendirian BN untuk berhati-hati daripada bekerjasama secara rasmi dengan GRS, manakala PH mengambil peranan ‘orang tengah’ dalam rundingan kerusi menjelang PRN Sabah ke-17.

Bagaimanapun pada 28 Julai lalu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Dr. Fuziah Salleh mengesahkan rundingan kerusi antara PH dan BN bagi PRN Sabah selesai.

GRS adalah komponen beberapa parti antaraya Parti Bersatu Sabah (PBS), Sabah STAR, Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Maju Sabah (SAPP), Parti Cinta Sabah (PCS), Parti Demokratik Liberal (LDP) dan Parti Harapan Rakyat Sabah.

Dalam pada itu, Joniston berkata, GRS sedia untuk bertembung dengan UMNO dalam PRN Sabah seandainya tiada kerjasama rasmi.

“Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin sudah berkali-kali cakap UMNO tidak akan bekerjasama dengan GRS.

“Dan sebagai gabungan parti tempatan, GRS sudah bersedia untuk ‘berentap’ dengan UMNO,” jelasnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN