KUALA LUMPUR: Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaffar turun padang meninjau kawasan operasi dan sempadan Malaysia-Thailand di Kem Gubir, Kedah, semalam.
Lawatan kerja itu melibatkan kawasan tanggungjawab (KTJ) Formasi 2 Divisyen serta Pos Sempadan Terkoordinasi (PST) Ban Di Da.
Turut hadir, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan mengiringi beliau dalam tinjauan tersebut.
Menurut kenyataan Tentera Darat Malaysia (TDM) di Facebook, lawatan berkenaan bertujuan menyantuni pegawai serta anggota yang bertugas di kawasan operasi selain menghargai dedikasi mereka dalam menjaga keselamatan negara.
“Pada kesempatan itu, kedua-dua panglima turut menyampaikan kotak sumbangan kepada Pegawai Pemerintah Batalion Ke-14 Rejimen Askar Melayu Diraja (Mekanize), Leftenan Kolonel Azllan Zainul Abidin.
“Lawatan tersebut juga menjadi platform mengeratkan kerjasama antara anggota tentera Malaysia dan Thailand yang bertugas di sempadan bagi memastikan kawalan keselamatan lebih berkesan,” tulis kenyataan tersebut. – UTUSAN