PETALING JAYA: Walaupun dunia semakin canggih dengan kehadiran teknologi digital seperti Canva, CapCut dan aplikasi kecerdasan buatan (AI), kad raya fizikal tetap diminati oleh golongan muda.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati masih ramai yang memilih untuk mengumpul dan memberi kad raya sebagai tanda ingatan serta menghargai nilai sentimentalnya.
Seorang guru, Hafizul Syarafi, 35, menganggap kad raya dapat menyerlahkan personaliti dan karisma seseorang pemberi.
“Kad raya ini seperti duta diri yang berbentuk persuratan kepada dunia luar. Bak kata orang zaman dahulu, siapa kumpul kad raya paling banyak, dialah orang paling popular.
“Hal seperti ini, kita tak dapat lihat dalam pemberian kad raya digital yang bersifat ringkas, mudah dan boleh dijana oleh AI,” katanya.
Seorang peniaga kedai runcit, Noorasimah Mohd Nor, 55, berkata, kad raya boleh disimpan lama dan menjadi sebahagian daripada dekorasi rumah ketika Syawal.
“Orang dulu-dulu gantung kad raya di rumah sebagai hiasan. Kad itu disusun cantik-cantik, dan apabila tetamu datang, mereka boleh jadikan modal perbualan serta imbau kenangan bersama,” katanya.
Selain itu, pemilik perniagaan kad raya @byanisgallery, Fathin Nabila berkata, permintaan tinggi terhadap kad hari raya menyebabkan dia terus berkarya sejak menceburi bidang itu pada 2022.
“Oleh kerana minat yang mendalam terhadap seni lukis dan kaligrafi, saya merasai kepuasan yang tidak boleh digambarkan apabila orang ramai menghargai hasil tangan saya.
“Saya mahu tradisi memberi dan mengumpul kad raya ini tidak dilupakan walaupun dalam dunia yang semakin canggih,” katanya.











