KUALA LUMPUR: Remaja perempuan, Nur Khalisya yang dilaporkan hilang sejak 25 Februari lalu ditemukan selamat di rumah keluarga angkatnya di Seremban Putra, Negeri Sembilan.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, remaja berkenaan dimaklumkan ditemukan hari ini.
“Maklumat lanjut berhubung penemuan itu akan dimaklumkan kemudian,” katanya ketika dihubungi.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, Nur Khalisya yang juga adik kepada bekas penyerang Harimau Malaya, Hadin Azman dilaporkan hilang sejak 11 hari lalu selepas pulang dari sekolah di Jalan Peel di sini.
Polis menerima laporan orang hilang melibatkan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun yang kali terakhir dilihat pada pukul 5 petang, 25 Februari lalu.
Ibu remaja terbabit berusia 44 tahun membuat laporan polis memaklumkan telah menghantar anaknya ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent, Jalan Peel pada pukul 7 pagi.
Si ibu kemudiannya datang semula ke sekolah untuk mengambil anaknya pada pukul 4 petang kerana remaja itu memaklumkan mempunyai kelas tarian.
Tetapi setelah menunggu hampir 40 minit, kelibat anaknya tidak kelihatan dan pengawal keselamatan sekolah memaklumkan tiada pelajar berada di sekolah pada waktu itu. – UTUSAN