NGO gesa kerajaan kekal larangan import e-waste

NGO gesa kerajaan kekal larangan import e-waste

Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Gabungan Hentikan Perdagangan Sisa menggesa kerajaan supaya kekal tegas dalam melarang import sisa elektronik (e-waste) ke Malaysia, susulan dakwaan terdapat usaha melobi untuk membolehkan perdagangan sisa tersebut.

Gabungan itu menerusi kenyataan meluahkan kebimbangan terhadap naratif yang dibawa oleh pihak tertentu yang menyamakan Malaysia dengan negara maju seperti Jepun dan Eropah dalam menguruskan e-waste.

Mereka mendakwa perbandingan itu tidak tepat kerana Malaysia berisiko menjadi destinasi utama bagi e-waste yang bernilai rendah seperti yang berlaku di China sebelum negara itu mengharamkan import sisa pada 2017.

“China sendiri mengakui kos pencemaran akibat e-waste lebih tinggi berbanding keuntungan jangka panjang. Jika mereka tidak dapat mengawal pencemaran, bagaimana dengan Malaysia?” katanya.

Gabungan itu turut membidas pihak yang menyalahkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) kerana mengetatkan kawalan terhadap import sisa elektronik.

Katanya, JAS hanya menjalankan tugas untuk melindungi alam sekitar dan kepentingan rakyat kerana perdagangan e-waste yang tidak dikawal boleh menjejaskan perkembangan industri kitar semula tempatan.

“Malaysia mempunyai sistem kutipan e-waste isi rumah paling maju di Asia Tenggara dengan pelbagai inisiatif seperti insentif tunai kepada pengguna dan penghantaran melalui Pos Malaysia.

“Jika import e-waste dibenarkan, pengusaha tempatan akan lebih cenderung memproses sisa luar negara yang lebih menguntungkan, sekali gus mengabaikan pengumpulan e-waste domestik.

“Ini bukan sekadar andaian. Lihat sahaja Thailand, di mana ratusan pemungut sisa tempatan membantah selama berminggu-minggu pada 2021 kerana kehilangan mata pencarian akibat lambakan sisa import,” katanya.

Gabungan itu berkata, perdagangan e-waste sering dikaitkan dengan jenayah rentas sempadan, termasuk penyeludupan dan eksploitasi negara membangun sebagai tempat pembuangan sisa toksik.

“Menghalalkan jenayah ini hanya akan meningkatkan risiko pencemaran yang tidak dapat dipulihkan.

“Kerajaan perlu ambil tindakan tegas terhadap sindiket perdagangan sisa haram, selain meningkatkan pemantauan terhadap kilang pemprosesan yang beroperasi secara tidak terkawal,” katanya.

Menurut gabungan itu, kelemahan penguatkuasaan dan rasuah dalam sektor pengurusan sisa menjadi faktor utama yang menyebabkan industri e-waste haram terus beroperasi di Malaysia.

“Walaupun teknologi hijau semakin berkembang, tanpa pemantauan dan penguatkuasaan yang berkesan, kilang kitar semula berlesen sekalipun boleh menjadi ancaman kepada kesihatan awam,” kata mereka.

Gabungan itu turut menolak cadangan untuk memusatkan pemprosesan e-waste dalam kawasan berpagar kerana langkah itu dikhuatiri akan menyukarkan pemantauan oleh masyarakat setempat yang sering menjadi pemberi maklumat penting kepada pihak berkuasa.

Katanya, kerajaan perlu melakukan analisis kos dan faedah secara menyeluruh sebelum mempertimbangkan sebarang langkah membenarkan import e-waste.

“Kesan negatif terhadap ekonomi perlu dinilai bukan hanya dari segi keuntungan industri kitar semula, tetapi juga pencemaran air, udara, dan tanah serta kos kesihatan akibat peningkatan penyakit berkaitan bahan toksik.

“Kami menyokong dasar kerajaan yang mengekalkan larangan import e-waste dan ketegasan Perdana Menteri dalam menangani isu penyeludupan sisa.

“Malaysia harus mengutamakan pembangunan sistem kitar semula tempatan, bukan membuka pintu kepada sisa asing yang berpotensi merosakkan alam sekitar dan kesihatan rakyat,” tegas mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN