WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) dijangka menghantar kapal pengangkut pesawat ketiga, USS Gerald R. Ford, ke Eropah minggu depan, menurut pegawai Tentera Laut semalam.
Langkah itu dijangka mengukuhkan lagi kehadiran ketenteraan AS berhampiran Asia Barat ketika konflik antara Israel dan Iran terus memuncak.
“Kumpulan kapal pengangkut Gerald R. Ford akan berlepas dari Norfolk (Virginia) pada 24 Jun bagi penempatan yang dijadualkan ke kawasan tanggungjawab Pemerintahan Eropah AS,” kata pegawai Tentera Laut.
Sementara itu, kapal pengangkut USS Carl Vinson beroperasi di Asia Barat sejak awal tahun ini, termasuk mengambil bahagian dalam kempen udara menentang kumpulan Houthi di Yaman yang disokong Iran.
Seorang pegawai pertahanan AS mengesahkan Ketua Pentagon, Pete Hegseth, mengarahkan kumpulan serangan kapal pengangkut pesawat Nimitz ke Asia Barat, sebagai langkah mengekalkan kedudukan pertahanan dan melindungi anggota Amerika.
Sebelum ini, Trump menghabiskan beberapa minggu mengusahakan laluan diplomatik untuk menggantikan perjanjian nuklear Iran yang dimusnahkan ketika penggal pertama beliau pada 2018.
Namun, beliau kini menyokong serangan Israel terhadap kemudahan nuklear dan kepemimpinan tentera Iran.- AFP









