PETALING JAYA: Selepas hampir dua tahun disabitkan atas empat pertuduhan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebat dan denda RM10 juta, rayuan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman didengar di Mahkamah Rayuan, hari ini.
Jika mahkamah membenarkan rayuan tersebut, Syed Saddiq akan bebas daripada sabitan salah dan hukuman namun responden (pendakwaan) masih boleh merayu di Mahkamah Persekutuan.
Sekiranya keputusan Mahkamah Rayuan tidak berpihak kepada Syed Saddiq, beliau juga berpeluang untuk merayu di Mahkamah Persekutuan.
Pada 9 November 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta ke atas Syed Saddiq selepas beliau didapati bersalah atas empat pertuduhan membabitkan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram.
Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan Syed Saddiq untuk menangguhkan hukuman yang dikenakan terhadapnya.
Menurut petisyen rayuandifailkan pada Disember tahun lalu, Syed Saddiq mengemukakan 18 alasan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman terhadapnya, antara lain mendakwa bagi pertuduhan pertama iaitu bersubahat melakukan pecah amanah, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azhar Abdul Hamid terkhilaf apabila menyamakan pengeluaran dengan perbelanjaan.
Selain itu, Syed Saddiq juga mendakwa, alasan penghakiman oleh Mahkamah Tinggi hanya diberikan kira-kira 13 bulan selepas keputusan pada 9 November 2023 telah memprejudiskan beliau.
Berdasarkan penghakiman Mahkamah Tinggi, Hakim Azhar menyatakan tindakan Syed Saddiq mengarahkan pengeluaran wang RM1 juta tanpa kelulusan Majlis Pimpinan Tertinggi Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) merupakan satu kesalahan pecah amanah.
Selain itu, mahkamah turut berpendapat tindakan tertuduh menyimpan dan membahagikan wang tunai yang dikeluarkan, tanpa disimpan di suatu tempat yang selamat di pejabat Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) juga menimbulkan satu inferens niat jahat (bad faith).
Mahkamah Tinggi kemudian menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta selepas beliau didapati bersalah atas empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang berkaitan dana Armada.
Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Penolong Bendahari Armada ketika itu, Rafiq Hakim Razali yang diamanahkan dana Armada berjumlah RM1 juta untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2, di sini, pada 6 Mac 2020.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya, di sini, antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh didenda.
Syed Saddiq juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.
Bagi prosiding rayuan, Syed Saddiq diwakili peguam-peguam bela, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden dan Datuk Hisyam Teh Poh Teik,.
Selain itu, pendakwaan dikendalikan oleh Ketua Bahagian Perundangan dan Pendakwaan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin.
Prosiding rayuan hari ini ditetapkan berlangsung selama dua hari.-UTUSAN









