MELAKA: Kerajaan Negeri Melaka menaja caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi seramai 260 pengayuh beca berdaftar di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri.
Langkah ini dilihat sebagai satu inisiatif penting dalam memastikan kebajikan mereka terjamin, khususnya dalam menghadapi sebarang risiko pekerjaan.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kerajaan negeri sentiasa prihatin terhadap kesejahteraan pengusaha beca yang menjadi antara nadi utama sektor pelancongan negeri.
“Sumbangan ini bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi juga jaminan keselamatan sosial yang akan memberi manfaat besar kepada para pengayuh beca sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini.
“Skim ini membolehkan pengayuh beca menerima perlindungan sosial yang meliputi faedah perubatan, hilang upaya, dan pencen ilat sekiranya mereka mengalami kemalangan atau kecederaan ketika bekerja.
“Melalui inisiatif ini, kita bukan sahaja mahu membantu meringankan beban mereka tetapi juga memastikan mereka dilindungi dengan sebaiknya,” katanya berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada pengusaha beca di Auditorium Perbadanan Muzium Melaka di sini, hari ini.
Dalam majlis yang sama, seramai 260 pengayuh beca turut menerima sumbangan Hari Raya Aidilfitri serta kit makanan sebagai tanda penghargaan kerajaan negeri kepada mereka.
Dalam pada itu, Ab Rauf berkata, Kerajaan Negeri Melaka juga giat mempromosikan perkhidmatan beca melalui pelbagai platform digital dan media sosial. – UTUSAN