Sudan Selatan terima kunjungan timbalan menteri luar Israel, nafi laporan pemindahan Gaza - Utusan Malaysia

Sudan Selatan terima kunjungan timbalan menteri luar Israel, nafi laporan pemindahan Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JUBA: Sudan Selatan pada Rabu mengesahkan kunjungan timbalan menteri luar Israel bagi mengadakan perbincangan, selepas muncul laporan mengenai rancangan memindahkan penduduk Palestin dari Gaza yang dilanda perang.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sebelum ini berkata beliau akan membenarkan penduduk Palestin di Gaza untuk berhijrah secara sukarela dan kerajaan sedang berbincang dengan beberapa negara berpotensi menjadi tuan rumah.

Menurut kenyataan rasmi, Menteri Luar Semaya Kumba mengadakan dialog dua hala yang bermanfaat bersama Haskel, menyentuh perkembangan semasa dalam negara Israel tanpa huraian lanjut.

“Kedua-dua pihak menzahirkan komitmen teguh untuk memajukan kerjasama dua hala dan pelbagai hala pada masa hadapan,” tambah kenyataan itu.

Sebelum ini, kerajaan di Juba menafikan laporan media yang mendakwa pihaknya berbincang dengan Israel mengenai pemindahan penduduk Palestin dari Gaza ke Sudan Selatan, menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak berasas.

Kemungkinan ketibaan penduduk Palestin dari Gaza di Sudan Selatan mencetuskan perdebatan hebat di media sosial dan di jalanan ibu negara.

“Kami tidak setuju kerana ini adalah penjenayah yang mereka mahu bawa kepada kami. Selain itu, kami tidak mempunyai tanah yang mampu menampung penduduk Palestin dari Gaza ke Sudan Selatan,” kata penduduk Juba, James Lomederi kepada AFP.

Seorang lagi penduduk yang enggan dikenali menyambut baik kedatangan penduduk Palestin dengan tangan terbuka.

“Sempadan kami memerlukan penempatan tentera yang ramai, dan mereka akan membantu kami menentang sesiapa yang mahu merampas tanah kami,” katanya.

Sudan Selatan yang miskin terus dibelenggu masalah keselamatan dan ketidakstabilan sejak merdeka pada 2011.

Tahun ini, negara itu menyaksikan pertempuran berbulan-bulan antara pasukan yang setia kepada Presiden Salva Kiir dan penyokong Timbalan Presiden Pertama, Riek Machar.

Penahanan Machar pada Mac lalu menimbulkan kebimbangan akan tercetusnya semula perang saudara, hampir tujuh tahun selepas berakhirnya pertempuran berdarah antara penyokong kedua-dua tokoh itu yang mengorbankan sekitar 400,000 nyawa antara 2013 hingga 2018. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN