PONTIAN: ‘Kalau dapat sembahyang Aidilfitri pun bersyukur, tiada apa yang nak dibuat lagi, banjir minggu lalu paling buruk, kelengkapan rumah hampir semua musnah.”
Itu luahan Superyadi Zainal, 49, salah seorang mangsa banjir di Kampung Sri Gambut di sini yang mengalami nasib rumahnya masih digenangi banjir termenung.
Katanya, terdapat tujuh rumah termasuk kediaman keluarganya dimasuki air melepasi paras kepala sehingga memusnahkan banyak kelengkapan rumah.
“Tiada apa yang dapat diselamatkan kerana air banjir yang berlaku ketika itu melepasi paras kepala, mujur kami sempat keluar ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Melayu Raya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, hingga semalam air memasuki rumahnya pada paras dada dan tidak mungkin dibenarkan pulang ke rumah dalam masa terdekat.
“Mungkin tiga empat hari lagi, belum pasti kami boleh pulang ke rumah, raya pun tak buat persiapan lagi,” katanya yang masih berlindung di PPS bersama-sama enam ahli keluarga lain.- UTUSAN











