TAPAH: Pengundi mahu wakil rakyat baharu DUN Ayer Kuning yang bakal dipilih dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN itu pada 26 April ini mampu memberikan khidmat baik kepada masyarakat.
Pengerusi Masjid Jamek Air Kuning, Omar Shah Ismail, 58, berkata, para penduduk mahu bakal pemimpin itu dapat mencontohi khidmat bakti kepada masyarakat seperti yang dilakukan oleh wakil rakyat sebelum ini, Allahyarham Ishsam Shahruddin.
Katanya, kecenderungan ke arah keagamaan menyebabkan Ishsam menjadikan Masjid Jamek Air Kuning sebagai masjid angkat dengan menumpukan aspek pembangunan dan penambahbaikan infrastruktur asas.
“Arwah berusaha dengan bersungguh-sungguh memohon peruntukkan daripada kerajaan negeri terutamanya daripada Menteri Besar Perak (Datuk Seri Saarani Mohamad) untuk masjid ini. Alhamdulillah banyak telah diluluskan.
“Malah, arwah tidak lokek mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk program-program melibatkan kanak-kanak, belia, dewasa dan warga emas di masjid ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian Ishsam , 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh 26 April depan bagi hari pengundian PRK DUN Ayer Kuning. DUN tersebut mempunyai 31,897 pengundi.
Omar berkata, beliau berasa sedih kerana dua hasrat arwah tertangguh pelaksanaannya iaitu karpet baharu dan sebuah van jenazah.
“Karpet di masjid ini sudah lama yang memang menjadi perhatian arwah yang kerap menunaikan solat di sini selain van jenazah sekarang sering mengalami kerosakan selain tidak selamat untuk dipandu.
“Van terpakai ini kami terima daripada sebuah masjid di Tanjung Malim. Kos membaikinya mencecah ribuan ringgit jadi saya berharap sekiranya kami mendapat van jenazah baharu kerana keperluan yang bersifat mendesak.
“Ramai kariah masjid perlu menyewa van jenazah lain yang kosnya lebih tiggi. Kasihan mereka kerana telah dilanda musibah kemudian ada bebanan lain perlu ditanggung,” katanya.









