KOTA BHARU: Pelajar Malaysia yang bersekolah di sini dan tinggal di Sungai Golok, Thailand disarankan untuk tinggal di asrama atau menumpang di rumah saudara-mara buat sementara waktu susulan insiden letupan bom dan berbalas tembakan yang berlaku di kawasan pekan tersebut malam semalam.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, langkah itu bertujuan memastikan tahap keselamatan berada dalam keadan terbaik selain mengurangkan risiko kepada pelajar yang sering berulang-alik untuk ke sekolah.
“Pelajar yang tinggal di Sungai Golok disarankan agar tidak merentas sempadan buat sementara waktu dan tinggal di asrama sekolah masing-masing.
“Biar keadaan betul-betul selamat dahulu. Ibu bapa boleh berhubung dengan pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan untuk perkembangan terkini mengenai perkara tersebut,” katanya kepada pemberita semasa sidang media selepas merasmikan program Jaulah Ramadan Kementerian Pendidikan (KPM) 2025 Peringkat Negeri Kelantan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Naim Lilbanat di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Fadhlina memberitahu, pihaknya yakin JPN Kelantan telah mengambil kira aspek berkait keselamatan pelajar-pelajar.
Katanya, KPM ketika ini sedang membuat kajian bagi menilai keperluan mewujudkan asrama untuk murid sekolah rendah yang tinggal di Sungai Golok.
“Inisiatif yang dilaksanakan KPM itu bertujuan mengurangkan risiko keselamatan yang dihadapi murid dan memastikan kedaulatan negara terpelihara,” ujarnya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, dua anggota sukarelawan pertahanan terkorban, manakala lapan lagi cedera dalam letupan bom di Sungai Golok, Narathiwat.
Dalam insiden kira-kira 7 malam (waktu tempatan) Sabtu, sekumpulan lelaki bersenjata menaiki dua pacuan empat roda menyerang Pejabat Daerah Sungai Golok.
Timbalan Ketua Polis Sungai Golok, Nitti Suksang mengesahkan kumpulan itu melepaskan tembakan dan melontar bom tangan ke arah sukarelawan pertahanan sedang bertugas.
“Dalam serangan itu, dua anggota sukarelawan pertahanan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala tiga parah dan lima cedera ringan,” katanya kepada pemberita di sini.-UTUSAN










