JOHOR BAHRU: Seorang lelaki kerdil mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan berusia lima tahun di sebuah pusat beli-belah di Jalan Harmonium, Taman Desa Tebrau, di sini, dua minggu lalu.
Tertuduh, Mohamad Hafizwan Ayob, 30, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Thalha Bachok@Embok Mok.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Mohamad Hafizwan didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan cara meraba kemaluan dan mencium hidung kanak-kanak itu di pusat beli-belah tersebut pada pukul 8.15 malam, 16 Mac lalu.
Jurujual itu didakwa di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak dan boleh dihukum di bawah akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh dihukum sebat, jika disabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Fadilah Johanuddin mencadangkan jaminan sekiranya diberikan berjumlah RM20,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan selain perlu melapor diri ke balai polis berhampiran dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Tertuduh tidak diwakili peguam bela dalam rayuannya memohon jumlah jaminan dikurangkan kepada RM5,000 kerana menanggung ibu dan bapa selain ibunya mengalami penyakit semput yang bergantung dengan ubat setiap bulan.
“Saya tak buat apa-apa pada budak tu, saya cuma dukung sahaja. Saya akan carikan duit untuk bayar jaminan atau pinjam daripada keluarga,” rayunya.
Hakim memutuskan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan perlu melapor diri ke balai polis berhampiran, menyerahkan pasport dan tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan serta menetapkan 28 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – UTUSAN