PETALING JAYA: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan peningkatan trafik di rangkaian lebuh raya menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri dengan anggaran sehingga 2.2 juta kenderaan sehari pada sebelum dan selepas perayaan.
Lonjakan itu dijangka berlaku pada beberapa hari puncak bermula 27 hingga 29 Mac serta 4 hingga 6 April hadapan dengan jumlah peningkatan mencecah 20 peratus berbanding hari biasa.
Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Ir. Zakaria Ahmad Zabidi berkata, pihaknya akan memberi tumpuan khusus untuk mengurus dan mengagihkan trafik serta penyediaan kemudahan yang lebih efisen bagi memastikan pengguna lebuh raya dapat menikmati perjalanan dengan lebih lancar dan selesa.
Katanya, lebih 5,000 petugas ekosistem PLUS turut ditugaskan bagi membantu melancarkan perjalanan pengguna lebuh raya sepanjang musim perayaan ini.
“Seramai 1,471 kakitangan akan membantu operasi di plaza tol manakala 60 petugas akan bertugas di Pusat Pemantauan Trafik PLUS dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2h untuk menyelaras bantuan jika berlaku insiden.
“Selain itu, 413 anggota rondaan PLUSRonda dan LPT2Ronda akan bersedia di lebuh raya, di samping 3,570 kakitangan penyelenggaraan di hentian rehat dan rawat (R&R), hentian sebelah dan plaza tol.
“PLUS turut menempatkan 319 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta 50 anggota Pasukan Bantuan Kecemasan (ERT) di beberapa lokasi bagi memastikan kelancaran perjalanan,” katanya kepada pemberita semasa sidang akhbar persediaan PLUS hadapi pertambahan trafik sempena Hari Raya Aidilfitri.
Mengulas lanjut, Zakaria berkata, pengguna lebuh raya disaran merancang perjalanan lebih awal dengan menggunakan jadual perjalanan digital MyPLUS-TTA menerusi aplikasi PLUS.
Katanya, ia bukan sahaja membantu dalam pengagihan trafik, malah dapat mengelakkan penumpuan kenderaan di sesuatu lokasi pada masa yang sama.
Namun, katanya, kelancaran perjalanan tetap bergantung kepada faktor luar jangka seperti kemalangan yang boleh menjejaskan pergerakan di lebuh raya.
“Pengguna boleh mendapatkan jadual perjalanan digital MyPLUS-TTA dengan memuat turun aplikasi PLUS untuk memilih waktu perjalanan paling optimum di Lebuhraya PLUS dan LPT2 bagi perjalanan di antara 27 Mac hingga 7 April 2025.
“Kami menyeru orang ramai merancang jadual perjalanan mengikut MyPLUS-TTA, bukan hanya untuk perjalanan keluar dari Lembah Klang untuk pulang ke kampung, tetapi juga bagi perjalanan kembali semula selepas bercuti,” katanya. – UTUSAN