Kutipan zakat fitrah UUM melonjak 26 peratus

Kutipan zakat fitrah UUM melonjak 26 peratus

Universiti Utara Malaysia (UUM)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Kutipan zakat fitrah melibatkan warga Universiti Utara Malaysia (UUM) meningkat 26.12 peratus apabila sebanyak RM34,394.50 berjaya diraih tahun lalu berbanding RM25,410 pada tahun sebelumnya.

Naib Canselor UUM, Prof. Datuk Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, ibadah zakat fitrah bukan sahaja dapat membantu masyarakat atau komuniti setempat yang memerlukan malah hikmahnya disyariatkan dalam usaha merawat ekonomi umat dan negara.

Menurutnya, secara tidak langsung, ianya merupakan medium penyucian harta bagi meluaskan lagi barakah yang diperoleh daripada pendapatan seharian individu.
“Corak peningkatan kutipan ini bersandarkan usaha yang dilaksanakan oleh para amil yang dilantik oleh Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) melalui Pusat Zakat Daerah Kubang Pasu.

“Pusat Islam UUM melalui Pejabat Zakat Daerah Kubang Pasu sentiasa bekerjasama erat bagi memastikan warga UUM dapat melaksanakan ibadah ini dengan sempurna melalui bayaran secara dalam talian dan boleh dibuat di mana sahaja,” katanya pada Majlis Pelancaran Kutipan Zakat Fitrah 1446H/2025 di Masjid Sultan Badlishah, pagi ini.

Beliau berkata, beberapa amil bertauliah yang telah dilantik akan berada di beberapa lokasi di dalam kampus UUM yang mana inisiatif itu diharapkan akan memperkasakan lagi prestasi kutipan zakat fitrah pada tahun ini.

“Majlis pelancaran ini juga merupakan salah satu inisiatif yang digerakkan oleh Pusat Islam UUM bersama LZNK bagi mempermudahkan warga UUM menunaikan tanggungjawab masing-masing,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN