PETALING JAYA: Polis telah melengkapkan kertas siasatan berhubung kes seorang pembantu pengurusan murid yang didakwa mengasari seorang pelajar autistik dalam kejadian yang tular baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar berkata, kertas siasatan tersebut telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan selanjutnya.
“Kertas siasatan berkenaan sudah dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, tular di aplikasi TikTok rakaman kejadian yang memaparkan seorang murid autistik berusia tujuh tahun dipercayai dikasari oleh pembantu pengurusan murid di sebuah sekolah rendah di Kelana Jaya, Selangor.
Berikutan itu, pihak polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001. – UTUSAN