LONDON: Seramai sekurang-kurangnya 146 individu membuat laporan kepada polis United Kingdom (UK), mendakwa mereka menjadi mangsa jenayah oleh bekas pemilik gedung mewah Harrods, Mohamed Al-Fayed, yang meninggal dunia pada tahun 2023 pada usia 94 tahun.
Menurut kenyataan Polis Metropolitan London semalam, siasatan giat dijalankan sejak dibuka semula tahun lalu, termasuk terhadap individu yang disyaki membantu atau membolehkan Al-Fayed melakukan kesalahan tersebut.
Siasatan semula itu dilakukan susulan pendedahan dokumentari BBC pada September tahun lalu, yang mendakwa Al-Fayed telah merogol dan menyerang secara seksual beberapa wanita muda yang bekerja di Harrods ketika beliau masih menjadi pemilik gedung tersebut.
Pasukan penyiasat dari Scotland Yard turut meneliti semula bagaimana siasatan terdahulu dikendalikan, bagi mengenal pasti jika terdapat sebarang peluang yang terlepas untuk mengambil tindakan lebih awal.
Dalam satu sesi taklimat pada Isnin lalu, polis memaklumkan perkembangan siasatan kepada 146 mangsa yang telah tampil, namun tidak mendedahkan maklumat terperinci mengenai kes berkenaan.
“Kami terus memberi sokongan kepada semua mangsa dan menggesa mana-mana individu yang mempunyai maklumat untuk tampil, sama ada mereka terlibat secara langsung atau mengetahui pihak lain yang mungkin menjadi mangsa atau pelaku,” kata polis dalam kenyataan tersebut.
Pada November tahun lalu, polis mendedahkan mereka telah dihubungi dan mengenal pasti puluhan mangsa berkaitan serangan seksual dan kesalahan lain yang didakwa dilakukan oleh jutawan Mesir itu, susulan rayuan awam yang dibuat.
Pada Mac lalu, Harrods mengumumkan satu skim pampasan untuk wanita yang mendakwa pernah mengalami gangguan seksual ketika bekerja di gedung itu semasa Al-Fayed menjadi pemilik dari 1985 hingga 2010.
Sehingga Julai, lebih 100 wanita tampil mendakwa menjadi mangsa dan mengemukakan permohonan untuk mendapatkan pampasan di bawah skim tersebut. – AFP










