PETALING JAYA: Kerajaan disaran menyediakan satu Kertas Putih Industri Padi dan Beras bagi memperhalusi pelbagai isu yang menjejaskan kelestarian sektor itu.
Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan juga perlu menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat elemen ketirisan dan jenayah perdagangan dalam industri berkenaan.
“Kertas Putih ini penting untuk merungkai segala permasalahan yang menghantui industri padi dan beras, termasuk ketidakadilan dalam rantaian bekalan serta dasar yang kurang memihak kepada petani.
“Selain itu, saya mencadangkan agar kerajaan menyediakan satu Kertas Putih Industri Padi dan Beras bagi memperhalusi pelbagai isu langsung dan tidak langsung yang mengganggu kelestarian industri tersebut,” katanya dalam Majlis Iftar Institut Masa Depan Malaysia (MASA) kelmarin.
Terdahulu, Muhyiddin mendengar isu berkaitan padi dan beras yang disampaikan oleh Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSawah).
Katanya, beberapa permasalahan utama dibangkitkan termasuk peningkatan kos input seperti benih, baja dan racun yang tidak berkualiti, kos perkhidmatan jentera serta isu monopoli yang menekan golongan petani.
“Bukan itu sahaja, petani turut menggesa harga lantai padi dinaikkan daripada RM1,300 kepada RM1,800 per tan metrik bagi menampung kenaikan kos operasi yang semakin membebankan.
“Isu itu perlu ditangani secara menyeluruh dengan melibatkan setiap rantaian ekosistem padi dan beras serta peranan pelbagai agensi kerajaan berkaitan,” katanya.











