Kerajaan negeri bantu peniaga terjejas pelaksanaan laluan sehala di Tapah - Utusan Malaysia

Kerajaan negeri bantu peniaga terjejas pelaksanaan laluan sehala di Tapah

SAARANI Mohamad melawat tapak usahawan pada Program KPKM Inc. Dan Riang Ria Raya Promosi dan Jualan Produk Industri Asas Tani (IAT) Jabatan Pertanian Perak 2025 di Tapah hari ini. - UTUSAN/MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Kerajaan negeri akan membantu peniaga yang terjejas berikutan pelaksanaan sistem penyuraian baharu aliran trafik satu hala di laluan utama bandar Tapah di sini.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kerajaan negeri tidak bersikap ‘lepas tangan’ terhadap aduan penjaja yang terjejas pendapatan mereka kerana sistem laluan sehala itu yang bertujuan mengurangkan kesesakan jalan raya.

“Ada yang bangkitkan perlunya jalan pintas ke masjid, perlu ada langkah keselamatan jalan di hadapan sekolah. Pagi tadi, saya pergi bersama persatuan penjaja untuk melihat satu tapak yang sesuai untuk penjaja yang terkesan berpindah dan berniaga.

“Tetapi kita sedang menunggu laporan Pejabat Daerah Dan Tanah Batang Padang untuk tengok status dan kos,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita pada Program KPKM Inc. dan Riang Ria Raya Promosi dan Jualan Produk Industri Asas Tani (IAT) Jabatan Pertanian Perak di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian Industri Makanan Perak, Datuk Mohd. Zolkafly Harun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang, Choong Shin Heng dan Pengarah Pertanian Perak, Norsiyenti Othman.

Saarani berkata, beliau sudah bertemu dengan persatuan penjaja semalam berhubung ahli-ahlinya yang terkesan kerana sistem laluan sehala itu menyebabkan kenderaan tidak dapat singgah untuk membeli jualan mereka.

“Tidak mengapa, kita sediakan tempat yang khusus untuk mereka. Persatuan penjaja dah setuju. Jalan ini akan siap pada 30 April tetapi sementara siap ini, kita dapat aduan ada penjaga-penjaja yang terkesan.

“Saya tidak dapat menarik balik laluan itu kerana itulah penyuraian trafik tetapi kepada yang terkesan (penjaja) kita akan cari tapak baru,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan lebih 300 peniaga dan penjaja mendakwa pendapatan mereka merosot sehingga 90 peratus selain ada yang terpaksa tutup operasi kerana sistem haluan sehala tersebut.

Kesulitan timbul apabila ruang parkir berkurang dan laluan tidak mesra buat pejalan kaki kerana kenderaan dipandu laju selain faktor keselamatan apabila kenderaan berat terpaksa membuat pusingan di selekoh berbahaya dan sempit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya